
KUALA LUMPUR, 28 Mac – Skuad kabaddi Selangor yang bakal beraksi pada temasya SUKMA Ogos ini menzahirkan keyakinan tinggi untuk memburu pingat emas.
- Latihan kecergasan konsisten setiap hujung minggu meningkatkan tahap kecergasan dan keyakinan pasukan.
- Pasukan menjalani latihan intensif selama enam bulan bagi merealisasikan misi mereka.
- Keputusan naib juara dalam Ravana Kabaddi Cup menyuntik keyakinan tambahan kepada skuad.
- Fokus kepada kecergasan, strategi dan komunikasi; berbekal semangat juang tinggi, skuad kini bersedia menghadapi cabaran.
Bagi tujuan itu, persiapan rapi diatur termasuk latihan kecergasan secara konsisten setiap hujung minggu bagi meningkatkan lagi tahap keyakinan pasukan.
Menurut pemainnya, Isaac Alton Andrew, pasukan telah menjalani latihan intensif sepanjang enam bulan lalu bagi merealisaikan misi tersebut.
“Kami berhasrat untuk meraih pingat emas, jadi, itulah cabaran terbesar. Namun kami yakin boleh melakukannya. Selangor Boleh!” katanya.
Isaac berkata demikian ketika ditemui pada aksi final Kejohanan Ravana Kabaddi Cup, di ibu negara hari ini.
Menurutnya lagi, kejayaan muncul sebagai naib juara dalam kejohanan Ravana Kabaddi Cup 2.1 baru-baru ini turut menyuntik keyakinan tambahan kepada skuad berkenaan.
Ketika ini, pasukan kabaddi Selangor memberi tumpuan kepada aspek kecergasan fizikal, strategi permainan serta komunikasi bagi memastikan prestasi berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan.
Katanya, berbekal semangat juang tinggi dan persiapan tersusun, skuad kabaddi Selangor kini bersedia menggalas cabaran dan memburu kejayaan di pentas SUKMA.