
KUALA LUMPUR, 15 Mac – Pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari menamatkan kemarau kejuaraan selama 13 bulan dengan penuh bergaya apabila menewaskan pemain Amerika Syarikat, Marina Stefanoni untuk merangkul gelaran Terbuka Australia 2026 di brisbane.
- Mempamerkan aksi dominan; perlawanan selesai dalam 28 minit dengan keputusan set 11-7, 11-4, 11-8.
- Kejohanan berstatus emas PSA menawarkan hadiah wang tunai AUD131,000 (RM360,575).
- Mengukuhkan rekod peribadi dengan kemenangan ke atas lawan yang sama pada kejohanan 2022 dan Kejohanan Dunia PSA 2022-23.
- Menempah tiket ke final selepas menewaskan pilihan keempat, Nele Gilis, pada aksi separuh akhir.
Pemain pilihan utama kejohanan itu mempamerkan aksi dominan pada kejohanan berstatus emas Persatuan Skuasy Profesional (PSA) apabila hanya memerlukan 28 minit untuk menundukkan pilihan ketujuh itu dengan keputusan 11-7, 11-4, 11-8.
Kejohanan tersebut menawarkan hadiah jumlah wang tunai AUD131,000 (RM360,575).
Kemenangan terbaharu itu turut meneruskan rekod cemerlang pemain nombor enam dunia itu menewaskan Stefanoni, pemain nombor 19 dunia, selepas pernah menewaskan pemain Amerika itu pada Terbuka Carol Weymuller 2022 serta Kejohanan Dunia PSA musim 2022-2023.
Kejayaan ini juga menamatkan penantian Sivasangari sejak Februari tahun lepas apabila muncul juara Piala Cincinnati Gayor selepas menewaskan pemain Mesir, Amanda Sobhy 11-7, 6-11, 7-11, 11-7, 11-4.
Terdahulu, pemain berusia 27 tahun itu menempah slot ke pentas final selepas menewaskan pilihan keempat dari Belgium, Nele Gilis 11-8, 13-11, 11-4 pada aksi separuh akhir. – BERNAMA