Simeone kecam insiden perkauman dalam aksi Sepanyol-Mesir

Pemain Sepanyol, Cristhian Mosquera beraksi menentang Mesir dalam perlawanan persahabatan di Barcelona/Foto REUTERS

MADRID, 4 April – Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone mengecam insiden berunsur perkauman yang berlaku dalam perlawanan persahabatan antara Sepanyol dan Mesir di Barcelona.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu perkauman kini bukan terhad kepada negara; ia menjadi masalah sosial dan global yang semakin membimbangkan.
  • Segelintir penyokong menyasarkan pemain serta penyokong beragama Islam dengan sorakan menghina dan siulan ketika lagu kebangsaan Mesir dimainkan.
  • Polis Catalan membuka siasatan untuk mengenal pasti pihak terlibat.

Beliau menyifatkan isu berkenaan bukan lagi terhad kepada sesebuah negara, sebaliknya menjadi masalah sosial global yang semakin membimbangkan.

“Ia isu sosial dan global… rasa hormat dalam masyarakat sudah semakin hilang sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Insiden itu didakwa melibatkan segelintir penyokong yang menyasarkan pemain dan penyokong beragama Islam, termasuk sorakan menghina serta siulan ketika lagu kebangsaan Mesir dimainkan.

Antara laungan yang dilaporkan termasuk frasa berbaur penghinaan terhadap umat Islam.

Polis Catalan kini membuka siasatan berhubung kejadian tersebut bagi mengenal pasti pihak terlibat.

Dalam perkembangan sama, Simeone turut menegaskan pasukannya akan terus bersaing hingga ke penghujung musim La Liga bagi mencapai sasaran yang ditetapkan. – VIORY