SUNGAI PETANI, 31 Disember– Penglibatan golongan belia dalam seni silat bukan sekadar aktiviti sukan atau untuk mempertahankan diri, tetapi juga menjadi wadah dalam pembentukan jati diri mereka, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
- Silat sebagai wadah penting membentuk jati diri belia melalui perpaduan dan nilai budaya.
- Silat lebih daripada sukan atau seni mempertahankan diri; ia mempunyai peranan sosial dan identiti.
- Kementerian bersedia berbincang dengan persatuan silat untuk merangka hala tuju seni warisan.
- Usaha memupuk atlet silat untuk mewakili peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata selaras dengan peranannya, silat wajar diangkat martabatnya sehingga ke peringkat tertinggi.
“Kita lihat bagaimana silat ini menjadi wadah menyatupadukan kita semua… untuk membentuk jati diri anak muda itu sendiri.
“Silat bukan sahaja sekadar sukan atau seni mempertahankan diri tetapi sebenarnya lebih daripada itu, sebab itu bagi saya penting untuk kita mengangkat martabat silat ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kejuaraan Silat Piala Pendekar Utama Negara Datuk Dr Raja Abdul Majid Terbuka Peringkat Kebangsaan 2025/2026 dekat sini malam tadi.
Program kejuaraan bertemakan “Gema Pahlawan MADANI” itu melibatkan hampir 2,000 peserta.
Mohammed Taufiq berkata kementeriannya juga bersedia untuk mengadakan pertemuan dan berbincang dengan semua persatuan silat bagi merangka hala tuju seni warisan itu.
“Kita akan melihat usaha yang dapat diambil bagi melahirkan lebih ramai atlet silat, yang bukan sahaja akan mewakili negeri, tetapi yang lebih penting melangkah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.- BERNAMA