
DALLAS, 16 Februari – Pemain Amerika Syarikat, Ben Shelton, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan rakan senegara, Taylor Fritz, 3-6, 6-3, 7-5 sekali gus merangkul gelaran keempat kariernya di Jelajah ATP menerusi aksi final penuh dramatik di Terbuka Dallas pada Ahad.
- Ben Shelton bangkit dari ketinggalan satu set untuk menewaskan Taylor Fritz dan memenangi Terbuka Dallas.
- Shelton menyelamatkan tiga mata kejuaraan dalam set penentuan sebelum mematahkan servis Fritz.
- Kemenangan memberi Shelton gelaran keempat kariernya di Jelajah ATP selepas aksi tenang dan agresif.
Pemain kidal berusia 23 tahun itu menyelamatkan tiga mata kejuaraan dalam set penentuan sebelum mematahkan servis Fritz untuk mengesahkan kemenangan ke atas pemain lebih berpengalaman berusia 28 tahun itu.
Fritz yang memburu gelaran ke-11 Jelajah ATP mempamerkan aksi cemerlang pada set pertama dengan servis hampir sempurna serta 11 pukulan kemenangan (winner) untuk menutup set pembukaan dalam tempoh 26 minit.
Bagaimanapun, Shelton kembali mengatur rentak dalam set kedua apabila lebih tenang di permainan servis sendiri, selain meniup semangat penonton seiring peningkatan keyakinannya.
Shelton beberapa rali panjang untuk mengubah momentum perlawanan. Kesilapan Fritz menghadiahkan ‘break’ buat Shelton untuk mendahului 5-3 sebelum satu lagi permainan servis mantap membolehkannya mengikat kedudukan.
Fritz tampak berada di landasan terbaik apabila melakukan ‘break’ dan mendahului 5-4 dalam set penentuan, selain memiliki tiga mata kejuaraan. Namun, ketenangan dan keagresifan Shelton terserlah apabila berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mata berkenaan untuk mengikat kedudukan 5-5.
Shelton kemudian mematahkan servis lawan pada permainan berikutnya sebelum menamatkan perlawanan menerusi servis kemenangan bagi menjulang trofi.-REUTERS