
KUALA LUMPUR, 11 April – Bekas jurulatih pecut negara, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah, kini memikul tanggungjawab besar dalam membantu Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) bagi memperkasakan skuad olahraga pekak negara.
- Pelan pembangunan atlet termasuk latihan pusat dan penyertaan kejohanan tempatan bagi persiapan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik 2026.
- Kolaborasi bersama legenda negara Nur Herman Majid membuahkan peningkatan prestasi dan pemahaman latihan dalam kalangan atlet.
- Cabaran komunikasi diatasi melalui jurubahasa isyarat serta jurulatih yang mempelajari bahasa isyarat, sambil atlet menunjukkan komitmen tinggi.
Ia sebagai persiapan menjelang Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) ke-11 yang bakal berlangsung di Pulau Pinang pada Disember 2026.
Menurut Amir Izwan, beliau kini sedang merangka pelan pembangunan atlet dan program latihan komprehensif, merangkumi pelaksanaan latihan pusat serta penyertaan dalam kejohanan tempatan bagi memberikan pendedahan kompetitif kepada atlet.
“Antara perancangan kami termasuklah menyertai pertandingan tempatan dan mengadakan latihan pusat, bergantung kepada kesesuaian tempoh masa serta kedudukan kewangan MSDeaf. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan pasukan mencapai tahap prestasi optimum pada temasya itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Aidilfitri MSDeaf di ibu negara, baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kolaborasi bersama legenda olahraga negara, Nur Herman Majid menunjukkan perkembangan positif apabila atlet mula memahami konsep latihan selain memperlihatkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan.
Mengulas mengenai cabaran komunikasi yang sering dihadapi atlet pekak, Amir Izwan menjelaskan kekangan tersebut berjaya diatasi melalui bantuan jurubahasa isyarat, selain inisiatif kedua-dua jurulatih tersebut untuk mempelajari bahasa isyarat.
“Walaupun mereka mempunyai kekurangan diri, namun tahap komitmen, disiplin, dan sikap yang ditunjukkan sangat tinggi. Itu merupakan antara ciri penting untuk berjaya dan saya percaya mereka berpotensi untuk melangkah lebih jauh,” jelasnya.