
RABAT, 18 Januari -Senegal muncul juara Piala Negara Afrika (AFCON) selepas menewaskan tuan rumah Morocco 1-0 menerusi masa tambahan, dalam final penuh kontroversi, malam tadi.
- Senegal dinobat juara AFCON selepas menang 1-0 kepada Morocco melalui masa tambahan.
- Insiden protes berlaku apabila pemain Senegal meninggalkan padang selepas penalti diberikan kepada Morocco.
- Brahim Díaz gagal mengeksekusi penalti, ditangkap oleh penjaga gol Edouard Mendy.
- Pape Gueye menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94, menamatkan penantian kejuaraan bagi Senegal.
Perlawanan dicemari insiden luar jangka apabila pemain Senegal bertindak meninggalkan padang sebagai bantahan terhadap sepakan penalti yang diberikan kepada Morocco pada penghujung masa sebenar.
Situasi tegang itu tercetus selepas pengadil dari Congo, Jean-Jacques Ndala, menghadiahkan penalti susulan semakan VAR apabila Brahim Díaz dijatuhkan ketika sepakan penjuru.
Insiden itu sekali gus, menyebabkan perlawanan tertangguh hampir 14 minit.
Ketua jurulatih Senegal, Pape Bouna Thiaw, mengarahkan pasukannya keluar padang sebelum kapten pasukan, Sadio Mané, berjaya memujuk rakan sepasukan untuk kembali meneruskan perlawanan.
Namun, peluang keemasan Morocco untuk merangkul kejuaraan disia-siakan apabila Díaz gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Percubaan ala ‘Panenka’ beliau mudah ditangkap penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.
Kekecewaan itu dihukum Senegal apabila Pape Gueye menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94, sekali gus memastikan kejuaraan menjadi milik Senegal.
Kejadian protes dan kekecohan itu dilihat mencalarkan reputasi kejohanan yang sebelum ini berjalan lancar, namun Senegal tetap muncul juara sah.
Bagi Morocco, kekalahan itu meneruskan rekod hambar mereka dalam kejohanan ini, dengan kejuaraan terakhir hanya diraih lebih 50 tahun lalu. -REUTERS