Selangor, Terengganu sah ke suku akhir Piala Malaysia

Pemain Selangor FC, Faisal Halim (kiri) menjaringkan bola ke gawang gol lawan pada perlawanan Piala Malaysia menentang Kelantan The Real Warriors FC/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Selangor FC menepati ramalan apabila mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia 2026 dengan agregat 5-1 selepas membelasah Kelantan The Red Warriors (TRW) 3-0 malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selangor layak ke suku akhir Piala Malaysia dengan kemenangan agregat 5-1 ke atas Kelantan.
  • Chrigor Moraes buka jaringan awal dan turut menjaringkan gol kedua untuk Selangor.
  • Terengganu melangkah ke suku akhir selepas menyingkirkan UM-Damansara United 7-0 agregat.
  • Engku Muhammad Nur Shakir hatrik membantu TFC menang 5-0 dalam aksi kedua di SSMZA.

Isnin lalu, Selangor turut menewaskan TRW 2-1 pada aksi pertama di Kota Bharu, Kelantan.

Pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pasukan tuan rumah bermula garang, menekan kubu lawan sebelum berjaya membuka jaringan melalui Chrigor Flores Moraes yang menyempurnakan hantaran Ahmad Zikri Khalili pada minit ke-19.

Jaringan itu nyata memberi tonik tambahan buat anak-anak buah Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon, yang terus melancarkan serangan bertali arus untuk memburu jaringan kedua.

Pada minit ke-44, penyerang Selangor, Faisal Halim, cuba menambah jaringan namun percubaannya tersasar ke kiri gawang lawan.

Bagaimanapun, kekecewaan itu pantas diubati apabila Faisal Halim meletakkan Selangor di kedudukan 2-0 di penhujung babak pertama apabila menampan mudah hantaran Moraes untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Damyan Valeriy Damyanov.

Bersambung babak kedua, Skuad Gergasi Merah tidak menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan apabila Moraes sekali lagi tenang meleret bola ke dalam gawang pihak lawan pada minit ke-66 dan keputusan kekal 3-0 sehingga wisel penamat.

Kemaraan itu menyaksikan Selangor akan bertemu pemenang antara Imigresen FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) di suku akhir.

Sementara itu, aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu, malam ini menyaksikan Terengganu FC (TFC) menempah slot ke suku akhir apabila menyingkirkan UM-Damansara United 7-0 secara agregat selepas menang 5-0 pada aksi kedua pusingan 16.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Tengku Hazman Raja Hassan bakal berdepan Kuala Lumpur City FC atau Perak FA di peringkat suku akhir.

Beraksi di tempat sendiri, TFC yang menguasai permainan memperoleh gol pertama melalui Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob, menanduk masuk hantaran Shervoni Mabatshoev pada minit ke-32.

Empat minit berselang, Engku Muhammad Nur Shakir sekali lagi menghadiahkan gol buat skuad Penyu, sebelum Careca menambah jaringan pada masa kecederaan babak pertama untuk membolehkan TFC mendahului 3-0.

Tidak cukup dengan itu, Engku Muhammad Nur Shakir mencipta hatrik pada minit ke-62, menjaringkan gol keempat perlawanan hasil hantaran silang Careca, sekali gus menceriakan hampir 2,000 penyokong yang hadir di SSMZA.

Ketika perlawanan berbaki tiga minit, TFC menambah derita skuad The City Tigers apabila Careca sekali lagi merobek gawang lawan untuk menjadikan kedudukan 5-0 sehingga wisel penamat. -BERNAMA

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan