
SHAH ALAM, 8 Februari – Selangor meletakkan sasaran 80 pingat emas bagi muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 yang dijadualkan berlangsung Ogos ini.
- Selangor sasar 80 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan SUKMA 2026.
- Olahraga dan renang dikenalpasti sebagai lubuk emas utama kontinjen negeri.
- SUKMA 2026 akan mempertandingkan 474 acara merangkumi 37 jenis sukan.
- Persediaan venue dan fasiliti untuk penganjuran kini mencapai sekitar 80 peratus.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, acara olahraga dan renang dikenal pasti sebagai antara lubuk emas utama kontinjen negeri itu dalam temasya sukan dwitahunan berkenaan.
Menurut beliau, SUKMA 2026 akan mempertandingkan sebanyak 474 acara merangkumi 37 jenis sukan, sekali gus membuka peluang luas kepada Selangor untuk mencapai sasaran ditetapkan.
“Daripada keseluruhan 474 acara yang dipertandingkan melibatkan 37 sukan, sasaran kita adalah 80 pingat emas. Dengan pencapaian itu, kita optimis untuk muncul juara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan, di sini.
Mohd Najwan berkata, Selangor akan memberi tumpuan khusus kepada beberapa sukan teras yang dijangka menyumbang pingat emas, khususnya olahraga dan renang.
“Bagi sukan tertentu, kita sasarkan dominasi, terutama dalam acara olahraga dan renang yang sememangnya menjadi lubuk emas Selangor,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan tahap kesiapsiagaan venue dan fasiliti bagi penganjuran SUKMA 2026 di Selangor kini mencapai kira-kira 80 peratus.
Katanya, persiapan itu merangkumi kerja-kerja naik taraf di beberapa lokasi utama bagi memastikan kelancaran penganjuran temasya berprestij berkenaan.