Sadat sasar lepasi 65m, buru tiket ke Sukan Asia 2026

Atlet baling tukul besi negara, Sadat Marzuqi Ajisan menyasarkan untuk melepasi kelayakan ke Sukan Asia 2026./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Atlet baling tukul besi negara, Sadat Marzuqi Ajisan menyasarkan untuk melepasi balingan 65 meter (m) musim ini bagi meningkatkan peluangnya layak ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berlatih di bawah jurulatih baharu Tan Song Hwa selepas penstrukturan program Olahraga Malaysia.
  • Merancang latihan intensif empat bulan di Algeria untuk pendedahan dan peningkatan prestasi.
  • Dijangka menguji prestasi pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang dijadualkan Jun ini.
  • Meraih pingat perak Sukan SEA Thailand Disember lalu dengan lontaran 60.15m, di belakang atlet Thailand Kittipong Boonmawan.

Atlet berusia 25 tahun itu kini menjalani latihan bawah jurulatih baharu, Tan Song Hwa selepas penstrukturan semula program oleh Olahraga Malaysia (MA), yang dilihat memberi pendekatan lebih sistematik dalam persiapan musim ini.

Beliau juga merancang menjalani latihan intensif selama empat bulan di Algeria bagi mendapatkan pendedahan serta meningkatkan tahap prestasi dalam acara baling tukul besi.

“Dengan teknik baharu ini, saya percaya mampu meneroka potensi diri dengan lebih jauh. Sasaran saya tahun ini adalah untuk melakukan balingan melebihi 65 meter” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa bersama Olahraga Malaysia (MA) di sini.

Sadat dijangka menguji prestasinya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung Jun ini.

Pada Sukan SEA Thailand Disember lalu, beliau meraih pingat perak dengan balingan sejauh 60.15m di belakang atlet Thailand, Kittipong Boonmawan yang mencatat 63.11m, manakala rakan sepasukan Jackie Wong meraih gangsa dengan catatan 59.81m.