Sabah FC berdepan kecederaan, tetap optimis hadapi JDT

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 21 Februari – Sabah FC tetap optimis menentang pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Likas di sini malam esok, walaupun berdepan dengan krisis kecederaan pemain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sabah FC menghadapi krisis kecederaan melibatkan beberapa pemain penting, termasuk patah kaki Cifuentes.
  • Barisan kejurulatihan akan membuat penilaian akhir sebelum perlawanan untuk menilai kesiagaan pemain.
  • Sabah tetap optimis dan mengharapkan sokongan padu penyokong di Stadium Likas menentang JDT.

Empat pemain iaitu Miguel Cifuentes, Gabriel Peres, Duje Ljubic dan Shahrol Nizam Abd Rahman tidak dapat beraksi atas faktor kecederaan manakala Kervens Belfort dan Chris-Marlon Ondong-Mba belum berada pada tahap kecergasan terbaik.

Pemangku Ketua Jurulatih Sabah FC Alto Linus yakin kelebihan beraksi di laman sendiri memberikan suntikan semangat tambahan kepada skuad The Rhinos untuk mencatat keputusan positif.

“Cifuentes disahkan perlu berehat kira-kira dua minggu selepas mengalami keretakan kaki ketika aksi pusingan pertama menentang PDRM FC dalam saingan Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Gabriel masih berada dalam fasa pemulihan dan Duje belum mencapai tahap kecergesan optimum dan akan terus dipantau dari semasa ke semasa,” kata Alto menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, barisan kejurulatihan akan membuat penilaian akhir menjelang hari perlawanan yang menentukan kesediaan mereka untuk diturunkan.

Sabah FC mengharapkan kehadiran penyokong setia di Stadium Likas bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan dalam memburu keputusan positif ke atas JDT.