
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Pembangunan sukan di peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPTA) bakal mendapat lonjakan baharu menerusi penerbitan program ‘S-Podium’, hasil kerjasama rasmi antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan bakal bersiaran di saluran Sukan Plus RTM.
- S-Podium akan merangkumi liputan meluas aktiviti sukan universiti di seluruh negara serta mengetengahkan pembangunan sukan dan sumbangan mahasiswa.
- Nota kerjasama dimeterai secara rasmi, meneruskan hubungan UiTM-RTM lebih 50 tahun serta penglibatan program yang dilaksanakan beberapa tahun lalu.
- Program mensasarkan penonton muda dan mendedahkan ekosistem sukan IPTA, memberi fokus kepada pembangunan sukan sebagai asas negara.
- S-Podium dijadual siaran setiap Jumaat jam 10.00 malam selepas Piala Dunia FIFA 2026, diharap menjadi pilihan mingguan penonton.
Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof Dr Abd Rasid Abd Rahman berkata, program tersebut bakal merangkumi liputan meluas mengenai aktiviti sukan universiti di seluruh negara selain membantu RTM mengetengahkan naratif pembangunan sukan serta sumbangan mahasiswa secara menyeluruh.
“Kolaborasi ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana hubungan UiTM dan RTM telah terjalin lebih 50 tahun menerusi pelbagai kerjasama penyiaran dan media.
“Program itu juga telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dan kini diteruskan secara rasmi melalui pemeteraian nota kerjasama,” katanya kepada RTM selepas menandatangani nota kerjasama tersebut bersama Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail di Menara Angkasapuri, hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Program TV RTM, Alex Reza Shariman Othman berkata, pengisian program S-Podium mampu menarik golongan muda selain mendedahkan ekosistem sukan di peringkat IPTA.
“Program itu dijangka menarik minat penonton muda selain memberi fokus kepada pembangunan sukan universiti sebagai asas pembangunan sukan negara,” katanya.
Beliau berkata, S-Podium akan disiarkan pada setiap Jumaat, pukul 10.00 malam, selepas tamat kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.
“Pihak RTM berharap program berkenaan mendapat sambutan peminat sukan dan menjadi rancangan pilihan mingguan penonton,” katanya.