Rondale Moore meninggal dunia pada usia 25 tahun

 Rondale Moore / AFP

LOS ANGELES, 22 Februari – Pemain sayap (wide receiver) Liga Bola Sepak Amerika (NFL), Rondale Moore, meninggal dunia pada usia 25 tahun, menurut pihak berkuasa di negeri Indiana, Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Moore ditemukan tidak bernyawa di garaj kampung halamannya, dipercayai akibat tembakan yang dilakukan sendiri.
  • Siasatan masih dijalankan dan pihak berkuasa belum mendedahkan maklumat lanjut mengenai kejadian.
  • Minnesota Vikings menyatakan dukacita, telah menghubungi keluarga dan memberikan sokongan rasmi.

Ketua Polis New Albany, Todd Bailey, memaklumkan kepada media tempatan, Moore ditemukan tidak bernyawa di sebuah garaj di kampung halamannya di Indiana, dipercayai akibat tembakan yang dilakukan sendiri.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan tiada maklumat lanjut akan didedahkan buat masa ini.

Pasukan Minnesota Vikings dalam satu kenyataan menyatakan mereka amat berdukacita atas pemergian Moore.

“Kami sedang berusaha memahami fakta kejadian dan telah menghubungi keluarga Rondale bagi menyampaikan ucapan takziah serta sokongan penuh daripada Minnesota Vikings,” menurut kenyataan itu.

Ketua jurulatih Vikings, Kevin O’Connell, berkata dia sangat terkesan dengan berita tersebut.

Moore mula mencipta nama ketika beraksi bersama Purdue University sebelum dipilih pada pusingan kedua Draf NFL 2021 oleh Arizona Cardinals.

Dia kemudiannya dipindahkan ke Atlanta Falcons pada Mac 2024, namun mengalami kecederaan lutut yang menamatkan musimnya ketika kem latihan.

Pada Mac tahun lalu, Moore menandatangani kontrak setahun bersama Minnesota Vikings, tetapi sekali lagi mengalami kecederaan lutut serius dalam perlawanan pramusim pertama.-REUTERS