Rekod kemenangan bersih JDT terhenti, TFC kental ikat Harimau Selatan 1-1

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 11 April– Hasrat juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menamatkan saingan musim ini dengan rekod kemenangan bersih terbantut selepas terikat seri 1-1 menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rahadiazli Rahalim cemerlang, menafikan banyak percubaan bertubi-tubi JDT sehingga wisel penamat.
  • Bergson Da Silva menjaringkan gol pada minit ke-22; Ehson Panshanbe menyamakan pada minit ke-35.
  • Xisco Munoz kecewa walau pasukannya mendominasi dengan banyak peluang; Tengku Hazman puji disiplin dan motivasi pemain.

Bagaimanapun, keputusan itu menyaksikan Harimau Selatan masih mengekalkan rekod tanpa kalah yang dipegang sejak April 2021 selepas mengharungi 21 perlawanan.

JDT yang telah pun mengesahkan kejuaraan musim ini bermula garang dengan serangan bertali arus, namun kecekapan penjaga gol lawan, Rahadiazli Rahalim, berjaya merencatkan deretan peluang awal.

Tuan rumah akhirnya mendahului menerusi rembatan padu Bergson Da Silva pada minit ke-22.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad Penyu mula mengimbangi permainan menerusi serangan balas pantas.

Hasilnya, Ehson Panshanbe berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35 selepas menyempurnakan hantaran menarik daripada Gervane Kastaneer yang menewaskan Syihan Hazmi.

Bersambung babak kedua, aksi dominan terus memihak kepada JDT yang tidak berhenti mengasak kubu pelawat.

Namun, percubaan bertubi-tubi jentera serangan Harimau Selatan terus digagalkan oleh kecemerlangan Rahadiazli yang kental bertahan sehingga wisel penamat.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz mengakui kecewa dengan keputusan tersebut memandangkan pasukannya mendominasi perlawanan dengan banyak peluang keemasan.

“Saya kecewa dengan keputusan perlawanan ini. Sebenarnya kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol dan menamatkan saingan lebih awal, namun perkara seperti ini boleh berlaku dalam bola sepak. Apabila kita memiliki banyak peluang berdepan lawan seperti ini, adakalanya kita juga memerlukan sedikit faktor tuah untuk mencatatkan kemenangan,” kata Munoz kepada pemberita selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Penolong Jurulatih Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan, memuji disiplin tinggi pemainnya yang berjaya menyerap tekanan hebat sepanjang perlawanan.

“Jika mengikut realiti, fokus utama saya adalah untuk meminimumkan bolos memandangkan kami kehilangan ramai pemain utama. Kredit harus diberikan kepada pemain-pemain baharu kerana kombinasi mereka dengan pemain sedia ada sangat baik. Keputusan ini merupakan satu motivasi buat pasukan bagi baki empat perlawanan terakhir,” kata Tengku Hazman kepada pemberita.