Red Bulls ikat Inter Miami 2-2

FOTO REUTERS

MIAMI, 12 April – Inter Miami terlepas kemenangan apabila diikat 2-2 oleh New York Red Bulls dalam aksi Major League Soccer, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jorge Ruvalcaba menjaringkan gol pada minit ke-15 hasil hantaran Julian Hall.
  • Mateo Silvetti menyamakan sebelum rehat melalui hantaran jauh Rodrigo De Paul.
  • German Berterame menjaringkan gol sulungnya pada minit ke-55 memanfaatkan bola muntah hasil gerakan Messi.
  • Ethan Horvath beraksi wira dengan dua penyelamatan penting; Inter Miami membuat 16 percubaan berbanding 5 dan kekal tanpa kalah lapan perlawanan.

Tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan pada minit ke-15 menerusi Jorge Ruvalcaba hasil gerakan menarik Julian Hall yang melakukan hantaran tepat ke dalam kotak penalti.

Inter Miami bangkit menyamakan kedudukan sebelum rehat apabila Mateo Silvetti menyempurnakan hantaran jauh Rodrigo De Paul untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, German Berterame meletakkan Inter Miami di depan pada minit ke-55 menerusi gol sulungnya bersama kelab itu selepas memanfaatkan bola muntah hasil gerakan Lionel Messi.

Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Adri Mehmeti menyamakan kedudukan pada minit ke-77, sekali lagi berpunca daripada kreativiti Hall yang mencipta kedua-dua gol Red Bulls.

Pada penghujung perlawanan, penjaga gol Red Bulls, Ethan Horvath muncul wira apabila melakukan dua aksi menyelamat penting ke atas percubaan Messi dan Luis Suárez untuk memastikan keputusan seri kekal.

Inter Miami sebenarnya lebih menguasai permainan dengan 16 percubaan berbanding lima oleh pelawat, namun gagal memanfaatkan kelebihan tersebut.

Keputusan itu menyaksikan Inter Miami melanjutkan rekod tanpa kalah kepada lapan perlawanan dalam semua kejohanan, tetapi sudah mencatat lima keputusan seri dalam tempoh tersebut.-REUTERS