Raducanu mara ke pentas akhir pertama sejak muncul juara Terbuka AS 2021

Emma Raducanu / REUTERS

CLUJ, 7 Februari – Emma Raducanu mara ke final pertamanya sejak menjuarai Terbuka AS 2021 selepas menewaskan pemain Ukraine, Oleksandra Oliynykova, 7-5, 3-6, 6-3 pada aksi separuh akhir Terbuka Transylvania, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raducanu mara ke final Terbuka Transylvania setelah menewaskan Oleksandra Oliynykova dalam perlawanan separuh akhir tiga set.
  • Dia menghadapi cabaran pemulihan kecederaan dan pertukaran jurulatih sejak kemenangan Terbuka AS 2021, mengekalkan semangat juang tinggi.
  • Di final, Raducanu akan bertemu pemain tuan rumah Sorana Cirstea, yang layak selepas menewaskan Daria Snigur.

Pemain nombor satu Britain itu yang berusia 18 tahun ketika mencipta sejarah sebagai pemain kelayakan pertama menjuarai kejohanan Grand Slam di New York, bergelut mengekalkan momentum susulan masalah kecederaan dan pertukaran jurulatih sejak kejayaan berkenaan.

Raducanu yang tewas dalam tiga penampilan separuh akhir Jelajah WTA sebelum ini, mempamerkan ketahanan mental dalam perlawanan hampir tiga jam untuk mengesahkan tempat ke final, dengan Terbuka AS kekal sebagai satu-satunya gelaran profesional dimilikinya setakat ini.

Pada aksi akhir kelak, Raducanu akan bertemu pilihan tuan rumah, Sorana Cirstea, yang menewaskan pemain kelayakan, Daria Snigur, 6-0, 6-3 dalam satu lagi separuh akhir.-REUTERS