- Python RC bangkit lewat dengan perubahan taktikal, memperkukuh pertahanan dan menambah intensiti serangan untuk menang 23–15.
- Ketua pasukan Muhammad Halim puji pengalaman pasukan sebagai faktor utama mengatasi pasukan UKM yang lebih bertenaga.
- PSR 2026 kekal platform penting untuk kelab komuniti dan pembangunan bakat ragbi tempatan.

CYBERJAYA, 1 Februari- Python RC muncul juara baharu Putrajaya Super Rugby (PSR) 2026 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan UKM Bandits 23–15 dalam perlawanan akhir kategori Cup.
UKM Bandits bermula garang pada separuh masa pertama apabila mendahului permainan serta mendominasi kawalan bola.
Meskipun mempamerkan tekanan berterusan di kawasan lawan, mereka gagal mengekalkan momentum pada separuh masa kedua.
Python RC kemudiannya bangkit dengan perubahan taktikal yang ketara, memperkukuh pertahanan dan meningkatkan intensiti serangan sehingga berjaya merapatkan kedudukan dan akhirnya mendahului permainan.
Tiga gerakan terancang memberikan mata penting kepada mereka untuk kemenangan 23–15.
Sekali gus membolehkan Python RC dinobatkan selaku juara PSR 2026.
Ketua Pasukannya, Muhammad Halim Abu Kassim menyatakan rasa berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan serta semangat juang yang ditampilkan oleh rakan sepasukan.
“Untuk perlawanan akhir, kita tahu pasukan lawan adalah pasukan UKM mempunyai pemain muda dan bertenaga.
“Jadi apa yang kami buat, kami bermain dengan pengalaman yang ada. Kalau ikut kecergasan fizikal memang tinggal jauh. Alhamdulillah dengan pengalaman yang ada, pasukan kami dapat mengatasi tekanan daripada pasukan pihak lawan,” katanya.
Pemain UKM Bandits terus menerajui carta penjaring terbanyak musim ini walaupun gagal meraih gelaran utama.
Dalam perlawanan akhir kategori Plate, Kajang RAMS RC menewaskan Southern Oilers RC 17–10, manakala MMU Hornbills menguasai perlawanan akhir kategori Bowl dengan kemenangan 36–8 ke atas SDAR Lions.
PSR merupakan kejohanan tahunan yang membuka ruang kepada kelab komuniti bersaing secara kompetitif serta menjadi platform pembangunan bakat ragbi tempatan.