
KUALA LUMPUR, 9 Mac– Aspek ketahanan dan pemantapan strategi skuad kebangsaan menjadi fokus utama Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam mengharungi kalendar kejohanan besar.
- Penekanan khusus terhadap taktikal perlawanan, terutama bagi acara regu, bagi memperbaiki prestasi bertaraf antarabangsa.
- Usaha merapatkan jurang prestasi dan memastikan pasukan tidak kehilangan rentak di pentas antarabangsa.
- Mencampurkan elemen tenaga muda dan pengalaman bagi memastikan kesinambungan serta pembangunan generasi pemain baharu.
- Akademi Sepaktakraw Malaysia dinaik taraf dengan kemudahan moden untuk meningkatkan fokus dan latihan pemain.
Khususnya saingan Piala Dunia Sepak Takraw.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata langkah tersebut sangat kritikal bagi merapatkan jurang prestasi dan mengelakkan skuad negara kehilangan rentak apabila beraksi di pentas tertinggi antarabangsa.
Katanya, penelitian khusus kini diberikan terhadap taktikal perlawanan, terutamanya bagi saingan acara regu.
“Persiapan kita untuk menghadapi Piala Dunia kini lebih terarah kepada usaha mempertingkatkan aspek ketahanan mental dan juga strategi. Kita tidak mahu lagi pemain kita jauh ketinggalan dari sudut taktikal apabila berdepan lawan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM, di sini.
PSM turut mengorak langkah mencampurkan elemen tenaga muda dan pengalaman dalam pasukan bagi memastikan kelangsungan prestasi kem kebangsaan sentiasa terjamin.
Beliau turut mendedahkan seramai enam pemain muda berbakat besar telah diserapkan ke dalam Program Podium untuk diberikan pendedahan dan latihan intensif di peringkat elit.
“Ini adalah satu usaha yang positif kerana kita mahu melahirkan lebih ramai generasi baharu pemain sepak takraw negara yang mampu menggalas cabaran di masa hadapan,” katanya.
Persiapan skuad negara turut mendapat suntikan moral apabila Akademi Sepaktakraw Malaysia kini berwajah baharu selepas dinaik taraf sebagai pusat kecemerlangan sukan itu.
Kemudahan moden seperti gimnasium khusus untuk latihan fizikal sepaktakraw, bilik fisioterapi, bilik seminar berteknologi LED, serta ruang penginapan yang lebih selesa dijangka mampu meningkatkan tahap fokus pemain dalam kem latihan pusat.
Sementara itu, sebagai medan ujian kompetitif menjelang kejohanan antarabangsa, pemain negara juga bakal berentap dalam saingan Piala Emas Khir Johari yang dijadual pada April.
Saingan domestik berprestij tersebut bakal menyaksikan pertembungan sengit melibatkan 21 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita dari seluruh negara.