PMM mohon atlet berprestasi tinggi diberikan elaun khas

Foto fail/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Februari – Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) memohon agar atlet berprestasi tinggi diberikan elaun khas bagi membolehkan mereka menjalani latihan sepenuh masa sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • PMM mohon elaun khas supaya atlet berprestasi tinggi dapat menjalani latihan sepenuh masa sebagai persiapan Sukan SEA 2027.
  • Permohonan elaun ditujukan untuk memastikan sokongan kewangan dan kebajikan atlet terjamin.
  • Permohonan bagi pemenang juara dunia dan pingat emas kini dalam pertimbangan Majlis Sukan Negara.

Presidennya, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, ketika ini Muay Thai hanya berada dalam program latihan berfasa dan bukan program sepenuh masa seperti sukan teras negara.

“Muay Thai ini bukan program sepenuh masa dan atlet sebelum ini berlatih secara kendiri tanpa elaun. Jadi kita menekankan keperluan sokongan kewangan supaya kebajikan atlet terjamin,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara, di sini.

Jelas beliau, Muay Thai merupakan antara sukan yang konsisten menyumbang pingat kepada negara di peringkat antarabangsa termasuk di Sukan SEA, Sukan Solidariti Islam serta Kejohanan Remaja Asia.

“Di Sukan SEA kita menyumbang 10 pingat, di Islamic Games tahun lepas kita yang paling banyak menyumbang pingat dan di Asian Youth Games di Bahrain juga Muay Thai yang paling banyak menyumbang pingat,” jelasnya.

Menurutnya, permohonan pemberian elaun khas kepada atlet yang mempunyai rekod juara dunia dan pemenang pingat emas kini sedang dipertimbangkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).