PKBM beri laluan kepada pelumba muda, Mohd Azizulhasni tidak sertai ACC 2026

Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak akan menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina dari 25 hingga 31 Mac ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • PKBM fokuskan Azizulhasni dan Shah Firdaus pada Siri Piala Dunia Trek di Nilai, 24-26 April.
  • PKBM beri peluang kepada pelumba muda seperti Lau New Joe untuk beraksi di Kejohanan ACC 2026 sebagai medan ujian Asia.
  • Mohd Azizulhasni meningkat 39 anak tangga ke kedudukan ke-18 UCI selepas emas keirin dan gangsa pecut di Perth.
  • Sasaran PKBM termasuk Sukan Komanwel Glasgow 2026 dan Sukan Asia Jepun 2026 sebagai persediaan pusingan kelayakan Olimpik LA 2028.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan kedua-dua pelumba berkenaan memberi tumpuan pada Siri Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan dari 24 hingga 26 April.

Amarjit berkata PKBM berpendapat Mohd Azizulhasni yang dikenali sebagai “The Pocket Rocketman” dan Shah Firdaus wajar memberikan fokus masing-masing pada Siri Piala Dunia Trek.

“Kami di PKBM berpendapat adalah lebih baik sekiranya Datuk Azizulhasni memfokuskan tenaganya kepada Siri Piala Dunia Trek yang akan diadakan di Nilai nanti. Apatah lagi ia selepas 25 tahun dianjurkan di tempat sendiri, begitu juga dengan Muhammad Shah Firdaus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan keputusan itu, PKBM akan memberi peluang kepada pelumba muda sedang meningkat naik seperti Lau New Joe untuk mewakili negara di Tagaytay.

Beliau yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkata kejohanan itu mampu menjadi medan terbaik buat pelumba muda menguji kemampuan menentang pencabar dari seluruh Asia.

“Saya juga percaya pelumba seperti New Joe mampu melakukan kejutan di sana. PKBM perlu berani memberi ruang kepada pelumba muda beraksi pada peringkat tertinggi di pentas trek Asia,” katanya.

Sementara itu, Amarjit berkata PKBM teruja dengan peningkatan ketara Mohd Azizulhasni dalam ranking UCI selepas aksi cemerlangnya pada Siri Piala Dunia Trek di Perth, Australia minggu lepas.

Bekas juara dunia dan pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik 2020 di Tokyo yang memenangi emas keirin dan gangsa pecut individu di Perth, melonjak 39 anak tangga di kedudukan ke-18 dunia dengan 2,737 mata dalam ranking pecut elit lelaki.

New Joe pula naik 19 anak tangga ke kedudukan ke-17 dunia dengan 2,612 mata hasil prestasi memberangsangkan pada kejohanan sama.

Dalam pada itu, Amarjit berkata PKBM menyasarkan penyertaan Mohd Azizulhasni dan Shah Firdaus pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland serta Sukan Asia 2026 di Jepun sebagai persediaan menjelang pusingan kelayakan mata Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.- BERNAMA