
KOTA KINABALU, 22 Januari– Melaka FC mempamerkan aksi bertenaga untuk ‘menjinakkan’ Sabah FC 3-0 dalam perlawanan pusingan kedua Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Likas, malam tadi.
- Melaka FC mara suku akhir dengan kemenangan agregat 5-2 selepas menang 3-0 di Stadium Likas.
- Sabah kehilangan satu pemain melalui kad merah pada minit ke-44, menjejaskan rentak permainan mereka.
- Ahmed Shamsaldin muncul penjaring utama dengan dua gol, Che Rashid turut menambah jaringan.
- Jurulatih Melaka puji komitmen pemain; Sabah lihat kekalahan sebagai motivasi untuk bangkit.
Kemenangan tersebut sekali gus menamatkan kemaraan pasukan tuan rumah apabila Melaka FC mara ke suku akhir dengan agregat 5-2.
Sabah FC yang turun dengan misi memburu jaringan awal dilihat lebih banyak menguasai permainan pada separuh masa pertama, namun kegagalan memanfaatkan peluang serta kekebalan benteng pertahanan pelawat menyukarkan usaha mereka.
Situasi perlawanan berubah pada minit ke-44 apabila pemain Sabah FC, G.S. Robbat, dilayangkan kad merah, sekali gus memaksa pasukan tuan rumah beraksi dengan 10 pemain.
Memanfaatkan kelebihan tersebut, Melaka FC membuka tirai jaringan pada minit ke-49 menerusi penyudah Ahmed Shamsaldin sejurus babak kedua bermula.
Tekanan berterusan pelawat membuahkan hasil apabila Che Rashid Che Halim menggandakan kelebihan pada minit ke-85, sebelum Ahmed Shamsaldin sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring dua minit kemudian untuk melengkapkan kemenangan bergaya 3-0.
Keputusan itu mengesahkan tempat Melaka FC di peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka FC, Elavarasan Elangowan menyifatkan kemenangan itu sangat bermakna buat pasukan dan terus memperbaiki kelemahan untuk saingan seterusnya.
“Tahniah kepada para pemain dan terima kasih atas komitmen yang ditunjukkan. Kami sedar perlawanan ini memberi satu lagi peluang kepada pasukan berdasarkan pertemuan sebelum ini, dan pada detik penting, pemain berjaya melakukan penyudah dengan baik. Itu yang membezakan perlawanan. Kami akan terus mara ke hadapan dan membina barisan pertahanan yang lebih matang serta berpengalaman.
Walaupun terdapat beberapa situasi yang kurang menyebelahi kami, termasuk sebelum rehat, pemain kekal fokus sehingga tamat perlawanan. Selepas ini, tumpuan kami beralih kepada saingan liga dan kami akan memberikan sepenuh perhatian kepada perlawanan tersebut,” kata Elavarasan.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Jurulatih Sabah FC, Alto Linus menyifatkan kekalahan berdepan Melaka FC akan dijadikan pembakar semangat untuk tampil lebih baik.
“Secara keseluruhan, saya melihat satu persembahan yang baik dan semangat juang tinggi daripada semua pemain, terutamanya pada separuh masa pertama ketika kami masih beraksi dengan 11 pemain dan permainan berada dalam keadaan seimbang.”
“Namun, kekurangan seorang pemain jelas menjejaskan rentak permainan pasukan pada malam ini dan itu merupakan satu aspek negatif yang perlu kami terima. Bagaimanapun, kami perlu segera bangkit, bergerak ke hadapan dan memberi fokus sepenuhnya kepada perlawanan seterusnya,” kata Alto kepada pemberita.
Pasukan Melaka FC dijadualkan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan seterusnya saingan Piala Malaysia.