Piala Dunia 2026: Iran mohon pindah lokasi perlawanan ke Mexico

Pasukan kebangsaan lelaki bola sepak Iran, bergambar semasa pusiangan ketiga Kelayakan Piala Dunia menentang UAE di Tehran pada 20 Mac 2025/Foto REUTERS

MEXICO CITY, 17 Mac – Persekutuan Bolasepak Iran (FFIRI) sedang berunding dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi memindahkan perlawanan pusingan pertama Piala Dunia 2026 negara itu dari Amerika Syarikat ke Mexico susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden FFIRI Mehdi Taj berkata Iran tidak akan beraksi di Amerika Syarikat jika keselamatan pemain tidak terjamin.
  • Kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan keselamatan pasukan Iran tidak dapat dijamin meningkatkan ketegangan.
  • Duta Iran ke Mexico kritik kekurangan kerjasama Amerika berhubung visa dan sokongan logistik, cadang semua perlawanan Iran dipindah.
  • FIFA masih belum memberi maklum balas rasmi sementara Iran menegaskan penyertaan mereka tidak boleh dihalang.

Kedutaan Iran di Mexico memaklumkan, langkah itu diambil selepas timbul kebimbangan terhadap aspek keselamatan skuad kebangsaan menjelang kejohanan yang dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Presiden FFIRI, Mehdi Taj berkata, Iran tidak akan beraksi di Amerika Syarikat sekiranya keselamatan pemain tidak dapat dijamin.

“Apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, secara jelas menyatakan tidak dapat menjamin keselamatan pasukan kebangsaan Iran, sudah tentu kami tidak akan ke Amerika.

“Kami kini sedang berunding dengan FIFA untuk mengadakan perlawanan Iran di Mexico,” katanya.

Mengikut jadual asal, Iran dijadual menentang New Zealand dan Belgium di Los Angeles sebelum berdepan Mesir di Seattle, manakala kem latihan pasukan itu dirancang di Tucson, Arizona.

Sementara itu, Duta Iran ke Mexico, Abolfazl Pasandideh mengkritik kekurangan kerjasama kerajaan Amerika khususnya berkaitan isu visa dan sokongan logistik kepada delegasi Iran.

Beliau turut mencadangkan kepada FIFA supaya semua perlawanan Iran dipindahkan ke Mexico, namun badan induk bola sepak dunia itu masih belum memberikan sebarang maklum balas rasmi.

Ketegangan meningkat selepas kenyataan Trump yang menyarankan pasukan Iran tidak ke Amerika atas faktor keselamatan, walaupun sebelum ini Presiden FIFA, Gianni Infantino, memberi jaminan bahawa Iran dialu-alukan.

Dalam perkembangan sama, Iran menegaskan tiada pihak boleh menghalang penyertaan mereka di Piala Dunia walaupun konflik ketenteraan menentang Amerika dan Israel terus memuncak. – AFP