
ATLANTA, 29 Mac – Tuan rumah Piala Dunia 2026, Amerika Syarikat menerima tamparan awal selepas tewas 5-2 kepada Belgium pada Sabtu.
- Weston McKennie membuka jaringan untuk Amerika Syarikat pada minit ke-39.
- Zeno Debast menyamakan kedudukan pada minit terakhir separuh masa pertama.
- Belgium menambah jaringan melalui Amadou Onana, Charles De Ketelaere dan dua gol Dodi Lukebakio.
- Mauricio Pochettino anggap kekalahan sebagai proses pembelajaran dan menunjukkan perkara perlu diperbaiki sebelum Piala Dunia.
Pada perlawanan berkenaan, pasukan Amerika Syarikat (AS) berjaya mengejutkan Belgium dengan gol pertama menerusi Weston McKennie pada minit ke-39.
Tersentak dengan gol awal AS, Belgium membalas menyamakan kedudukan menerusi Zeno Debast pada minit terakhir separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Belgium terus bernafsu menambah jaringan menerusi Amadou Onana minit ke-53, Charles De Ketelaere minit ke- 59 dan dua gol daripada Dodi Lukebakio minit ke-68 dan 82.
Patrick Agyemang menjaringkan gol kedua buat Amerika Syarikat (AS) pada minit ke- 87.
Sementara itu, ketua jurulatih Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino menganggap kekalahan yang dialami pasukannya disifatkan sebagai proses pembelajaran dan kematangan pasukan sebelum bermulanya sepak mula Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung pada Jun depan.
“Ini satu realiti yang baik untuk kita, kerana ia menunjukkan perkara yang perlu diperbaiki,” kata Pochettino. – AFP