Perak FA lakar kejutan, tundukkan KL City FC

Foto Bernama

MANJUNG, 19 Januari – Pusingan 16 terbaik, Piala Malaysia 2025/2026 menyaksikan Perak FA melakar kejutan dalam aksi timbal balik pertama selepas menewaskan KL City FC, 2-0 dalam pertemuan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perak FA mengejutkan KL City FC dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan awal dan tandukan pada babak kedua.
  • Perak mengekalkan taktikal bertahan dan menguasai serangan balas sambil menurunkan pemain muda serta seorang pemain import.
  • KL City FC perlu usaha lebih kuat dalam aksi timbal balik pada 25 Januari untuk membalas dan mara ke pusingan seterusnya.

Pasukan tuan rumah di depan seawal minit ke-11 menerusi jaringan Ahmad Daniel Hakimi selepas menyempurnakan bola hantaran kapten pasukan, Kamal Arif Azrai.

Tersentak dengan jaringan tersebut, KL City FC melancarkan asakan berterusan bagi mencari gol penyamaan namun dihampakan oleh jentera serangan.

Babak kedua menyaksikan Perak FA kekal dengan taktik bertahan dan sekali-sekala mencipta peluang menerusi serangan balas.

Usaha tersebut membuah hasil selepas Muhammad Fadhil Azmi menjaringkan gol kedua skuad Seladang menerusi tandukan pada minit ke-53.

Kedudukan 2-0 kekal hingga wisel penamat dengan aksi timbal balik kedua dijadual berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 25 Januari depan.

Ketua Jurulatih Perak FA, Syamsul Saad.-Foto FB Perak FA

Ketua Jurulatih Perak FA, Syamsul Saad berpuas hati dengan kemenangan diraih anak buahnya lebih-lebih lagi menentang pasukan yang beraksi dalam Liga Super.

”Saya amat bersyukur walaupun kita mempertaruhkan pemain yang sangat muda dan kita bermula dengan seorang sahaja pemain import.

“Pemain juga memberikan komitmen sepenuhnya dan bermian dengan bersungguh-sungguh, mengikut apa yang kita rancang dan berjaya membuahkan hasil,” katanya.

Sementara itu, Pengendali KL City FC, Vidakovic Risto mengakui barisan pemainnya perlu bekerja lebih keras dalam aksi timbal balik kedua nanti jika berhasrat untuk mara ke pusingan seterusnya.

”Pasukan lawan layak untuk menang, mereka menjaringkan dua gol dan kini pasukan (KL City FC) memiliki satu lagi peluang dan akan berusaha sehabis baik,” katanya.