Penyokong Harimau Malaya diharap tidak luntur semangat

KBS beri ruang kepada FAM untuk menguruskan isu yang dialami – FB Taufiq Johari

SUNGAI PETANI, 1 Februari – Penyokong bola sepak tanah air diminta terus memberikan sokongan terhadap pasukan negara walaupun krisis berterusan yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Awal: KBS beri ruang kepada FAM untuk mengurus isu tadbir urus tanpa campur tangan segera.
  • Dr Mohammed Taufiq Johari menunggu keputusan berkaitan masalah FAM sebelum mengulas lanjut.
  • Seruan kepada penyokong supaya terus memberi sokongan dan tidak luntur semangat terhadap Harimau Malaya.
  • FAM mengalami krisis selepas Exco 2025-2029 meletak jawatan dan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, berharap isu dihadapi badan induk bola sepak negara itu dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut kerana mahu memberi ruang dan peluang kepada FAM untuk menguruskannya.

Dr Mohammed Taufiq Johari berharap penyokong bola sepak negara terus beri sokongan kepada Harimau Malaya. – FB Taufiq Johari

“Diperingkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kita sentiasa faham dan juga memberikan ruang kepada FAM untuk buat yang terbaik.

“Saya juga masih menunggu keputusan berkaitan isu yang dihadapi FAM dan kita lihatlah nanti bagaimana keputusannya.

“Saya harap semangat rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak negara tidak luntur dan mampu untuk mengembalikan kepercayaan dan persepsi rakyat terhadap bola sepak Malaysia,” katanya selepas meninjau sambutan Thaipusam, di sini hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari meninjau sambutan Thaipusam di Sg Petani. – FB Taufiq Johari

Sebelum ini, semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2025-2029 mengumumkan perletakan jawatan secara kolektif susulan isu tadbir urus yang dihadapi.

FAM berdepan krisis bermula September lalu selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan badan induk itu dan tujuh pemain warisan negara didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).