
ALOR SETAR, 4 Februari – Perkembangan bolasepak Liga A-1 Semi Pro 2025-2026.
- Nnabuike diumumkan sebagai pemain import baharu Kedah FA untuk menyokong baki saingan liga musim ini.
- KFA menekankan kekuatan fizikal, kepantasan dan naluri jaringan tajam yang dimiliki pemain berusia 29 tahun itu.
- Kehadirannya diharap memberi dimensi baharu, tenaga segar dan ancaman konsisten kepada pertahanan lawan.
Penyerang dari Nigeria, Chukwu Nnabuike Chijioke diumumkan sebagai pemain import terbaharu pasukan Kedah FA bagi mengharungi baki saingan liga musim ini.
Kehadiran Nnabuike yang juga bekas pemain import Terengganu FC bertujuan untuk memperkuat dan mempertajamkan jentera serangan pasukan.
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam kenyataan berkata pemain berusia 29 tahun itu memiliki kekuatan fizikal, kepantasan serta naluri jaringan yang tajam.
Nnabuike tidak asing dalam saingan bola sepak Malaysia dengan sentuhan penyudah yang berkesan.
Jelas KFA, dengan pengalaman beraksi di pentas domestik, Nnabuike hadir sebagai satu elemen penting untuk melengkapkan jentera serangan Kedah.
Kehadirannya dijangka memberi dimensi baharu, tenaga segar dan ancaman berterusan kepada pertahanan lawan untuk saingan pusingan kedua Liga A1 Semi-Pro musim ini.
Nnabuike yang disapa oleh rakan sepasukan dengan panggilan ‘CJ’ akan memakai jersi nombor 90 dan dijangka diturunkan pada perlawanan menentang Malaysia University di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat ini.
Untuk rekod, Kedah FA kini menghuni tangga ke lima liga dengan 35 mata dan berpeluang untuk mencabar kedudukan teratas liga yang dilihat masih terbuka.##