Penstrukturan semula MA perkukuh skuad negara hadapi Sukan SEA 2027

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Penstrukturan semula sistem kejurulatihan oleh Olahraga Malaysia (MA) dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh persiapan jangka panjang skuad olahraga negara, khususnya menjelang Sukan SEA 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih baharu memberi tumpuan kepada perancangan teratur dan menyeluruh untuk persiapan jangka panjang.
  • Kejohanan utama 2026 seperti Sukan Asia dan Komanwel akan dijadikan medan menilai prestasi sebelum menghadapi cabaran 2027.
  • 22 atlet disenaraikan dalam Program Podium manakala 40 lagi dalam Program Pelapis berdasarkan kriteria prestasi semasa.
  • Pemilihan atlet dibuat berdasarkan merit sepenuhnya tanpa mengambil kira faktor usia.

Ketua jurulatih lompatan, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, barisan kejurulatihan baharu kini memberi tumpuan kepada perancangan lebih teratur dan menyeluruh bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik menjelang temasya itu.

Menurutnya, beberapa kejohanan utama sepanjang tahun seperti Sukan Asia 2026 dan Sukan Komanwel 2026 akan dijadikan medan penting untuk menilai tahap prestasi atlet sebelum menghadapi cabaran lebih besar pada 2027.

“Misi utama kita adalah Sukan SEA 2027. Dalam masa sama, kejohanan besar pada 2026 akan menjadi platform penting untuk mengukur tahap prestasi atlet sebelum menghadapi temasya itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa MSN di Bukit Jalil.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 22 atlet disenaraikan dalam Program Podium, manakala 40 lagi berada dalam Program Pelapis, berdasarkan kriteria prestasi semasa.

Menurut Manshahar, pemilihan atlet dibuat sepenuhnya berdasarkan merit tanpa mengambil kira faktor usia.

Kejohanan terdekat yang bakal disertai atlet negara ialah Terbuka Singapura yang dijadual berlangsung April ini, sebelum menghadapi beberapa lagi kejohanan utama di peringkat Asia dan antarabangsa sepanjang musim 2026.