Pengurus Man City sokong pasukan bola sepak amputasi Gaza

FOTO Gaza al-Irada FC

ISTANBUL, 13 Februari – Pengurus kelab Liga Perdana Inggeris Manchester City, Josep “Pep” Guardiola Sala menandatangani jersi pasukan kebangsaan Palestin pada Khamis sebagai tanda sokongan kepada pasukan bola sepak amputasi di Gaza, umum pasukan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pep Guardiola menandatangani jersi pasukan kebangsaan Palestin sebagai tanda sokongan kepada pasukan amputasi Gaza.
  • al-Irada FC memuji tandatangan itu sebagai simbol hubungan antara atlet tempatan dan komuniti bola sepak global.
  • Pasukan menyifatkan jersi tersebut sebagai lambang kebanggaan dan inspirasi bagi pemain yang mengatasi kecederaan.
  • Gambar menunjukkan pemain amputasi bersama foto Guardiola memegang keffiyeh Palestin, menonjolkan solidariti dan keazaman mereka.

Pasukan bola sepak amputasi Gaza al-Irada FC (Gaza of Will) mengumumkan penghargaan itu menerusi satu hantaran di Instagram, menyifatkannya sebagai hubungan simbolik antara atlet tempatan dan komuniti bola sepak global.

“Dari bumi Gaza ke pentas tertinggi bola sepak dunia. Wira kami dalam pasukan Gaza al-Irada menerima mesej istimewa dan tandatangan daripada Pep Guardiola yang digelar ‘ahli falsafah’ bola sepak,” menurut kenyataan pasukan itu.

Para pemain merakamkan penghargaan kepada Guardiola, bekas pemain kelahiran Sepanyol itu, atas sokongannya sambil menegaskan makna mendalam di sebalik jersi yang ditandatangani berkenaan.

“Jersi ini bukan sekadar sehelai pakaian, tetapi pingat kebanggaan yang dipegang setiap pemain yang mencabar kecederaan dan berlari mengejar impiannya. Terima kasih Guardiola kerana melihat dalam diri kami apa yang kami lihat dalam diri kami sendiri: wira yang tidak mengenal erti mustahil,” menurut kenyataan itu lagi.

Imej yang dikongsi pasukan itu menunjukkan pemain amputasi bergambar dengan foto Guardiola yang memegang keffiyeh Palestin.

Pasukan itu sebelum ini turut memuat naik rakaman ahli pasukannya bermain bola sepak di tengah runtuhan di Gaza, menonjolkan keazaman mereka untuk terus berlatih meskipun berdepan keadaan sukar.- BERNAMA-ANADOLU