Pengalaman bantu Jin Wei mara ke akhir Masters Thailand

Pemain perseorangan wanita profesional Malaysia Goh Jin Wei/Gambar arkib RTM

BANGKOK, 31 Januari – Pemain perseorangan wanita profesional Malaysia Goh Jin Wei melangkah ke pusingan akhir kejohanan badminton Masters Thailand 2026 selepas menewaskan rakan senegara Wong Ling Ching di Stadium Nimibutr, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengalaman Jin Wei bantu dia bangkit selepas tewas set pertama, menewaskan Wong Ling Ching 21-17, 21-16.
  • Perlawanan berlangsung 57 minit dan sangat sengit, dengan Ling Ching mengawal banyak permainan.
  • Jin Wei cedera lebam pada ibu jari kanan namun bertekad beri aksi terbaik pada final.
  • Beliau fokus pada melakukan yang terbaik tanpa meletakkan sasaran tertentu untuk kejohanan.

Pemain berusia 26 tahun itu ternyata memanfaatkan pengalamannya untuk bangkit selepas tumpas pada set pertama kepada Wong yang juga pemain ke-43 dunia, 17-21, 21-17, 21-16 dalam pertembungan selama 57 minit.

Berada pada ranking ke-68 dunia, Jin Wei mengakui tidak menjangkakan kemenangan kerana keletihan selepas perlawanan sebelum itu selain banyak melakukan kesilapan.

“Ia pertandingan yang sangat sengit hari ini. Ling Ching mengawal sebahagian besar permainan tetapi saya bernasib baik dapat melepasinya sebagai pemenang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perlawanan di sini.

Meskipun lebam pada ibu jari kanan, Jin Wei berkata beliau akan memberikan aksi terbaik pada final esok.

Katanya beliau tidak meletakkan sasaran tertentu untuk kejohanan itu dan sebaliknya memilih untuk fokus pada melakukan yang terbaik dan mencapai keputusan sebaik mungkin.

Dalam perlawanan akhir perseorangan wanita esok, atlet kelahiran Pulau Pinang itu akan berdepan pemain nombor 63 dunia Devika Sihag dari India, yang membuat kejutan menewaskan pemain Taiwan, Huang Yu Hsun (ranking ke-35) 22-20, 21-13.

— BERNAMA

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan