
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pendaftaran empat pemain warisan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025–2026 sebagai pemain tempatan adalah mematuhi Peraturan Pertandingan Liga-M.
- Pendaftaran dilakukan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA Connect) mengikut Manual Liga-M Edisi 2025-2026, Artikel 3.
- Dokumen wajib: salinan kad pengenalan berwarna atau salinan pasport berwarna perlu dikemukakan untuk proses pendaftaran.
- Surat pekeliling 12 Jun 2025 mengarahkan kemas kini dokumen dan muat naik dalam format PDF untuk kelulusan pendaftaran.
- Didaftarkan menggunakan kad pengenalan JPN sebagai pemain tempatan, namun masih digantung 12 bulan menurut keputusan FIFA dan CAS.
MFL memaklumkan pendaftaran tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam manual pertandingan liga.
Menurut MFL, berdasarkan Manual Liga-M Edisi 2025–2026, di bawah Peraturan Pertandingan Artikel 3 berkaitan sistem pendaftaran dan perpindahan pegawai serta pemain, proses pendaftaran dilakukan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA Connect).
“Peraturan itu menetapkan pemain tempatan dan asing perlu mengemukakan salinan kad pengenalan berwarna atau salinan pasport berwarna sebagai dokumen wajib untuk proses pendaftaran,” menurut kenyataan MFL hari ini.
Perkara itu turut diperjelaskan melalui surat pekeliling kepada semua kelab Liga-M bertarikh 12 Jun 2025 yang menetapkan dokumen berkaitan perlu dikemas kini serta dimuat naik dalam format PDF bagi mendapatkan kelulusan pendaftaran.
Menurut MFL, keempat-empat pemain berkenaan telah melalui proses pendaftaran mengikut peraturan pertandingan Liga-M dengan menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi didaftarkan sebagai pemain tempatan untuk musim ini.
Sehubungan itu, MFL menegaskan tiada pelanggaran peraturan pertandingan dilakukan oleh kelab masing-masing dalam proses pendaftaran pemain berkenaan.
Bagaimanapun, MFL menjelaskan keempat-empat pemain tersebut masih perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan rasmi seperti diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini.
Empat pemain itu merupakan antara tujuh pemain skuad Harimau Malaya yang dikenakan tindakan susulan kes pemalsuan dokumen.