Pelapis cipta sensasi, Malaysia unggul hari kedua Boling Padang Jemputan 7 Negara

Nur Syafira Muhammad Redzuan dan Nurul Balqis Anisha Bakar

KUALA LUMPUR, 17 Februari – Hari kedua Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 menyaksikan Malaysia terus memperaga dominasi apabila hampir semua wakil negara mencatat kemenangan, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai antara kuasa utama boling padang di rantau ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia terus dominan pada hari kedua kejohanan boling padang jemputan tujuh negara.
  • Pairs wanita pelapis Nur Syafira dan Nurul Balqis tampil meyakinkan dalam debut gabungan mereka.
  • Pasangan muda itu berazam kekalkan momentum untuk mara ke separuh akhir dan rebut tempat skuad kebangsaan.

Tumpuan terarah kepada pairs wanita pelapis, Nur Syafira Muhammad Redzuan dan Nurul Balqis Anisha Bakar yang buat pertama kali digandingkan, namun berjaya menampilkan aksi meyakinkan di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Dalam kejohanan yang dibawakan khas oleh Yayasan Sime Darby dengan kerjasama Persekutuan Lawn Bowls Malaysia itu, kedua-duanya mencipta kejutan pada hari pertama selepas menewaskan pasangan senior, sebelum meneruskan rentak kemenangan dengan mengatasi India 2-0.

Nurul Balqis berharap momentum kemenangan itu dapat diteruskan menjelang aksi separuh akhir.

“Kami mahu kekalkan momentum ini dan berikan yang terbaik di separuh akhir. Ini peluang untuk kami buktikan kemampuan,” katanya kepada media selepas mengesahkan tempat ke kelompok empat terbaik.

Bagi pasangan muda itu, prestasi cemerlang ini bukan sekadar memburu gelaran, malah menjadi platform untuk membuktikan diri dan merebut tempat dalam skuad kebangsaan.

Cabaran seterusnya dijangka lebih getir apabila mereka sekali lagi perlu berdepan India dalam usaha melangkah lebih jauh pada hari ketiga kejohanan.