Pang Ron, Pei Kee tinggalkan BAM

Pemain beregu wanita Go Pei Kee (kiri) dan pemain beregu campuran, Hoo Pang Ron /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain beregu campuran, Hoo Pang Ron serta pemain beregu wanita, Go Pei Kee telah meninggalkan skuad kebangsaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAM merakamkan penghargaan atas sumbangan dan komitmen kedua-dua pemain sepanjang bersama pasukan negara.
  • Hoo Pang Ron akan digandingkan bersama Lai Pei Jing dan dijangka membuat penampilan sulung beregu campuran di Masters Malaysia 2026.
  • Jimmy Wong dijangka kembali menyertai skuad beregu campuran dan akan melapor diri di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada 15 April.
  • Pasangan Jimmy Wong dan Cheng Su Yin dijangka membuat kemunculan pertama di Masters Malaysia 19 hingga 24 Mei 2026, platform penting uji kebolehan.

Perkembangan ini sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan kedua-dua pemain yang sebelum ini menjadi perbualan.

BAM dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan atas sumbangan serta komitmen kedua-dua pemain sepanjang bersama pasukan negara, selain mendoakan kejayaan mereka dalam hala tuju kerjaya masing-masing selepas ini.

Pang Ron selepas ini akan digandingkan bersama pemain senior, Lai Pei Jing dan dijangka membuat penampilan sulung menerusi acara beregu campuran dalam saingan Masters Malaysia 2026.

Sementara itu, Jimmy Wong bakal kembali menyertai skuad kebangsaan sebagai pemain beregu campuran baharu dan dijadual melapor diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada 15 April ini.

Beliau akan digandingkan bersama Cheng Su Yin yang juga gandingan Pang Ron sebelum ini.

Pasangan itu dijangka membuat kemunculan pertama pada kejohanan Masters Malaysia.

Kemasukan semula Jimmy dilihat mampu memperkukuh barisan beregu campuran negara dalam usaha meningkatkan prestasi di pentas antarabangsa.

Masters Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 24 Mei ini dijangka menjadi pentas penting buat pasangan baharu itu untuk membuktikan kemampuan mereka.