Pahang naikkan insentif kemenangan atlet Sukan SEA, Para ASEAN

Foto FB Wan Rosdy bin Wan Ismail

KUANTAN, 28 Januari – Seramai 52 atlet negeri Pahang diraikan atas kejayaan di temasya Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 di Thailand.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pahang tingkatkan kadar insentif kemenangan atlet Sukan SEA dan Para ASEAN untuk pengiktirafan pencapaian.
  • Insentif baharu: emas individu RM8,000, berpasukan RM4,000 seorang; perak dan gangsa juga dinaikkan.
  • Tambahan RM2,000 diberikan kepada atlet yang memecahkan rekod kejohanan sebagai galakan kecemerlangan.

Daripada jumlah itu, 44 atlet daripada Sukan SEA Ke-33 melibatkan 18 jenis sukan secara berpasukan dan individu manakala lapan atlet mencipta kejayaan di temasya Para ASEAN Ke-13.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata majlis itu dianjurkan sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Negeri Pahang terhadap pencapaian cemerlang barisan atlet yang telah mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa.

Pada majlis itu, kerajaan negeri turut mengumumkan kenaikan kadar insentif kemenangan atlet negeri Pahang yang beraksi pada Sukan SEA ke-33 dan Para ASEAN ke-13.

Kadar insentif baharu itu termasuk pingat emas kategori individu RM8,000 dan kategori berpasukan RM4,000 seorang, pingat perak kategori individu (RM4,000) dan kategori berpasukan (RM2,000 seorang), serta pingat gangsa kategori individu (RM2,500) dan kategori berpasukan (RM1,500 seorang).

Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan insentif khas RM2,000 kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kejohanan Sukan SEA sebagai galakan tambahan terhadap kecemerlangan prestasi.

Tambah beliau, insentif yang disampaikan juga merupakan simbol keprihatinan kerajaan negeri terhadap usaha gigih, disiplin tinggi dan semangat juang yang telah ditunjukkan oleh para atlet sepanjang temasya sukan itu berlangsung.

“Bukan senang nak dapat (pingat) emas, jadi satu penilaian yang sangat kita hargai dan sebab itulah Kerajaan Negeri Pahang, saya bersama YB Fadzli (Mohamad Kamal), beliau beritahu kepada saya…Tok Wan, adakah kita akan menambah lagi sumbangan kerajaan negeri kepada para atlet yang berjaya dalam Sukan SEA ini, saya kata tidak ada masalah,”

Beliau berucap demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Pahang Sempena Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 Thailand 2025, di sini hari ini.

Pada temasya Sukan SEA Ke-33, Malaysia berjaya meraih 231 pingat keseluruhan dengan 57 pingat emas, 57 pingat perak dan 117 pingat gangsa, sekali gus melepasi sasaran 200 pingat.

Manakala sebanyak 201 pingat berjaya dirangkul pada temasya Para ASEAN Ke-13 melibatkan 64 pingat emas, 64 pingat perak dan 73 pingat gangsa.

Sementara itu atlet sukan olahraga, Nani Sahirah Maryata, 25 tahun berkata kejayaan memenangi pingat emas acara lontar peluru serta memecahkan rekod kebangsaan dengan lontaran sejauh 16.36 meter amat bermakna buat dirinya.

“Saya bersyukur sebab Tok Wan (Datuk Seri Wan Rosdy) dan YB Fadzli naikkan (insentif) sampai RM8,000 dan saya rasa bersyukur sebagai sebagai anak Pahang,” jelas beliau.

Ujarnya, tumpuan utamanya kini adalah menghadapi Sukan Asia yang dijadualkan berlangsung pada September depan di Osaka, Jepun.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan
Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.