
MILAN, 16 Februari – Kanada membelasah Perancis 10-2 manakala Amerika Syarikat (AS) menundukkan Jerman 5-1 untuk menamatkan pusingan awal acara hoki ais lelaki dengan rekod kemenangan 100 peratus pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026.
- Kanada memenangi ketiga-tiga perlawanan Kumpulan A dengan agregat jaringan unggul 20-3.
- Connor McDavid menjadi penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan sembilan mata.
- AS menjuarai Kumpulan C dengan agregat 16-5, dipacu oleh dua gol Auston Matthews.
Kanada yang juga pasukan paling berjaya dalam sejarah hoki ais Olimpik, mempamerkan aksi mantap apabila mengungguli Kumpulan A dengan tiga kemenangan dan agregat jaringan 20-3.
Bintang utama Kanada, Connor McDavid, muncul penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan sembilan mata selepas menyumbang satu gol dan dua bantuan jaringan ketika menentang Perancis.
Sembilan pemain berbeza mencatat nama sebagai penjaring sebelum Macklin Celebrini melengkapkan kemenangan bergaya Kanada dengan gol ke-10 pasukan itu.
Kapten, Sidney Crosby, turut mencipta sejarah apabila mengumpul 16 mata Olimpik sepanjang kariernya, mengatasi rekod Jarome Iginla sebagai pemain Kanada paling banyak meraih mata di temasya musim sejuk yang menampilkan pemain NHL.
Sementara itu, AS menamatkan kempen Kumpulan C di tangga teratas dengan agregat 16-5 selepas tiga perlawanan.
Zach Werenski membuka tirai jaringan sebelum Auston Matthews meledak dua gol untuk memastikan kemenangan selesa ke atas Jerman.
Kehadiran semula bintang Liga Hoki Kebangsaan (NHL) di Olimpik buat kali pertama sejak 2014 menambah sengit saingan di Itali, selepas liga elit Amerika Utara itu bersetuju menghentikan musim pertengahan serta isu kualiti ais dan saiz gelanggang berjaya diselesaikan.-AFP