
KUALA LUMPUR,15 Mac – Pemilihan jurulatih luar negara bagi mengendalikan olahraga negara masih dalam proses, dengan mereka yang dipilih bakal memegang jawatan sebagai ketua jurulatih bagi setiap jurusan dalam program pembangunan olahraga negara.
- Jurulatih luar negara akan mengetuai jurusan pecut, lontaran, jarak sederhana dan jarak jauh; jurusan lompatan diketuai jurulatih tempatan.
- Mohd Manshahar Abd Jalil dilantik penyelaras keseluruhan program atlet podium dan pelapis kerana pengalaman serta pengetahuan.
- Pemilihan jurulatih berdasarkan rekod melahirkan atlet bertaraf antarabangsa; calon pecut dinilai dari Asia dan Eropah.
Setiausaha Agung Olahraga Malaysia (MA), Nurhayati Karim berkata jurulatih luar negara yang dilantik akan mengetuai jurusan masing-masing merangkumi acara pecut, lontaran, jarak sederhana dan jarak jauh, manakala jurusan lompatan akan diterajui oleh jurulatih tempatan.
Menurut beliau, jurulatih Mohd Manshahar Abd Jalil turut dilantik sebagai penyelaras keseluruhan program melibatkan atlet podium dan pelapis kerana pengalaman serta pengetahuannya mengenai prosedur dan pelaksanaan program latihan yang lebih tersusun.
Tambahnya,pemilihan jurulatih luar negara dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama, antaranya mempunyai rekod melahirkan atlet bertaraf antarabangsa yang berjaya memenangi pingat di kejohanan besar.
“Keupayaan jurulatih tersebut melahirkan atlet bertaraf dunia yang mampu memenangi pingat di kejohanan peringkat ASEAN, Asia dan juga dunia,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Olahraga Malaysia bersama media di sini.
Dalam perkembangan sama, bagi acara pecut pihaknya kini sedang menilai beberapa calon jurulatih berpengalaman dari Asia dan Eropah sebelum keputusan muktamad dibuat.