Norris terus diiktiraf, tuai hasil bergelar juara dunia

Lando Norris/REUTERS

LONDON, 22 Januari– Juara Dunia Formula Satu (F1), Lando Norris mengakui masih menyesuaikan diri dengan realiti baharu sebagai juara dunia apabila menerima penganugerahan pada Majlis Anugerah Autosport Tahunan, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lando Norris masih menyesuaikan diri dengan status baharu sebagai juara dunia F1.
  • Dia menerima Anugerah Juara Autosport sulung pada majlis tahunan Autosport di London.
  • Norris satu-satunya pelumba yang dulu memenangi anugerah pelumba muda sebelum juara dunia, seperti Jenson Button.
  • Beliau mengesahkan kejuaraan di Abu Dhabi, menamatkan dominasi Max Verstappen dengan kelebihan dua mata.

Pelumba McLaren berusia 26 tahun itu dinamakan sebagai penerima sulung Anugerah Juara Autosport pada majlis yang berlangsung di London, selepas pernah memenangi Anugerah Autosport BRDC Young Driver of the Year pada acara sama kira-kira sedekad lalu.

Norris turut menjadi pelumba kedua yang pernah memenangi anugerah pelumba muda berkenaan sebelum bergelar juara dunia F1, mengikut jejak langkah Jenson Button yang menjulang kejuaraan dunia pada 2009.

“Sejujurnya, tidak banyak yang berubah. Ia hanya terasa berbeza apabila orang lain bercakap mengenainya. Cuma saya lebih dikenali dan itu membolehkan saya mengimbau kembali detik-detik bersejarah, menghidupkan semula memori hari dan hujung minggu yang cukup bermakna itu,” katanya.

Norris mengesahkan kejuaraan dunia F1 miliknya pada Grand Prix Abu Dhabi Disember lalu, menamatkan dominasi juara bertahan Max Verstappen dari Red Bull yang bertahan selama empat musim, dengan kelebihan tipis dua mata.

“Musim depan pasti berbeza. Banyak perkara perlu difikirkan. Ia pasti terasa lain apabila saya melangkah masuk ke dalam jentera dan melihat nombor satu di bahagian hadapan. Itu sudah tentu akan membuatkan saya tersenyum lagi,” ujar Norris.

Ujian pramusim F1 dijadualkan bermula di Barcelona pada 26 Januari, sebelum tirai musim 2026 dibuka dengan Grand Prix Australia di Melbourne pada 8 Mac. -REUTERS

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan