
RABAT, 14 Januari – Nigeria berkemungkinan mengamalkan pendekatan bertahan dan bergantung kepada serangan balas ketika berdepan tuan rumah, Maghribi, pada aksi separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) awal pagi Rabu, kata ketua jurulatihnya, Eric Chelle.
- Nigeria dijangka bertahan dan mengharapkan serangan balas untuk mengekalkan tekanan kepada Maghribi.
- Ketiadaan kapten Wilfred Ndidi memberi fokus kepada Victor Osimhen dan Ademola Lookman dalam serangan.
- Maghribi dianggap antara pasukan terbaik Afrika dan berdepan tekanan tinggi sebagai tuan rumah.
Naib juara edisi 2023 itu sudah menjaringkan 14 gol sepanjang kejohanan, namun bakal berdepan ujian getir menentang Maghribi yang masih belum dibolosi jaringan daripada permainan terbuka.
Nigeria mara ke separuh akhir selepas menewaskan Tunisia 3-2 dalam aksi peringkat kumpulan C sebelum menyingkirkan Algeria 2-0 pada suku akhir. Pasukan itu sebelum ini gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.
Skuad Super Eagles bagaimanapun tidak akan diperkuatkan kapten, Wilfred Ndidi, yang digantung perlawanan. Tumpuan dijangka terarah kepada penyerang Victor Osimhen yang telah meledak empat gol, serta pemain sayap Ademola Lookman yang mencatat empat bantuan jaringan setakat ini.

Sementara itu, jurulatih Maghribi, Walid Regragui menjangkakan perlawanan sengit sambil menyifatkan Nigeria sebagai antara pasukan terbaik Afrika, selain menegaskan pengalaman pihak lawan mara ke separuh akhir buat kali ke-17 menjadi kelebihan mereka.
Regragui turut mengakui tekanan tinggi berada di bahu pasukan tuan rumah, terutama susulan pencapaian cemerlang Maghribi pada Piala Dunia 2022 apabila mara ke separuh akhir, sekali gus meningkatkan jangkaan penyokong tempatan. -REUTERS