
PUTRAJAYA, 16 Februari – Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan terus dilaksanakan meskipun kemelut melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan isu melibatkan pemain warisan yang kini berada di peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
- NFDP akan diteruskan walaupun FAM berdepan kemelut dan isu pemain warisan berada di peringkat CAS.
- MSN memantau rapat situasi dan penggunaan latihan diteruskan walau dana RM18 juta ditangguhkan buat sementara.
- Kementerian tidak akan mencampuri urusan FAM di luar bidang kuasa sehingga keputusan rasmi CAS dikeluarkan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan program pembangunan akar umbi itu tidak boleh dihentikan kerana ia merupakan tunjang kepada masa depan bola sepak negara.
Bagaimanapun beliau berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) akan sentiasa memantau secara rapi situasi berkenaan sehingga keputusan rasmi Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dikeluarkan.
“Ya, kita tangguhkan dahulu dana RM18 juta tersebut buat masa ini. Namun, penggunaan berkaitan latihan dan sebagainya masih diteruskan. MSN akan memantau dengan rapat isu ini walaupun FAM sedang menghadapi situasi seperti ini, NFDP ini tidak boleh terhenti untuk kita mencungkil bakat-bakat baharu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pihak kementerian tidak akan mencampuri urusan yang berada di luar bidang kuasanya sehingga keputusan rasmi dikeluarkan oleh CAS.
“Apa-apa yang tidak boleh disentuh oleh kementerian, saya tidak akan sentuh sehingga ada keputusan. Ini bukan bidang kuasa kementerian untuk hal-hal pentadbiran FAM,” katanya.
Beliau bagaimanapun berharap siasatan dan proses perundangan dapat dijalankan secara telus dan adil serta tidak menjejaskan semangat rakyat terhadap bola sepak negara.
“Saya harap siasatan ini dibuat dengan baik dan telus. Keputusan yang dibuat nanti adalah yang terbaik untuk persatuan dan tidak akan melunturkan semangat bola sepak dalam diri rakyat Malaysia. Ini bukan untuk melemahkan semangat, sebaliknya sebagai pengajaran daripada perkara ini,” tegasnya.
Pihak kementerian akan terus memantau perkembangan isu berkenaan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat selepas keputusan CAS diumumkan.