NFDP 2026 sasar 16,221 pelatih dan 792 jurulatih

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Kira-kira RM18 juta diperuntukkan kerajaan bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) 2026, dengan menyasarkan penglibatan 16,221 pelatih dan 792 jurulatih di seluruh negara bagi melahirkan pemain tempatan bertaraf antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan peruntuk kira-kira RM18 juta untuk NFDP 2026, fokus melatih pemain tempatan bertaraf antarabangsa.
  • FAM tanggungjawab teknikal dan prestasi; MSN urus pengurusan, kewangan, pendidikan, kebajikan dan fasiliti.
  • NFDP dijalankan melalui rangkaian luas akademi dan pusat latihan menjadikannya platform pembangunan bakat terbesar negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata peruntukan itu merangkumi pengurusan atlet dan jurulatih, pendedahan latihan dan kejohanan, pusat latihan, sains sukan, perubatan serta khidmat sokongan penuh.

“Sebab itu kita perlu perkasakan NFDP ini supaya kita boleh mencungkil lebih ramai bakat-bakat tempatan, lebih ramai bakat-bakat baharu dan saya berharap dengan segala isu yang berlaku ini biarkan ia dibicarakan dengan proses dan lunas undang-undang yang telahpun termaktub apa yang penting sekarang kita jangsan luntur semangat kita, kita tetap memperkasa dan memperkukuhkan segala program yang ada ” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

FOTO BERNAMA

Ujar beliau, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kekal bertanggungjawab terhadap aspek teknikal, kejurulatihan dan prestasi pelatih, manakala Majlis Sukan Negara (MSN) mengurus aspek pengurusan, termasuk kewangan, pendidikan, kebajikan, fasiliti, asrama dan penyelenggaraan.

NFDP dilaksanakan melalui rangkaian 79 Akademi Tunas, 63 Pusat Latihan Daerah, 14 Sekolah Sukan Negeri, satu Akademi Zon dan Akademi Mokhtar Dahari, menjadikan program ini platform terbesar pembangunan bakat bola sepak muda negara.