Neymar tidak sertai aksi pemanas badan Piala Dunia

Pemain tonggak Brazil, Neymar /Foto Reuters

RIO DE JANEIRO, 18 Mac – Neymar sah tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan Brazil bagi aksi persahabatan bulan ini kerana belum mencapai tahap kecergasan penuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ancelotti kata hanya pemain yang benar-benar cergas akan diturunkan menjelang persiapan Piala Dunia 2026.
  • Jurulatih tidak menolak peluang Neymar kembali jika capai tahap kecergasan optimum.
  • Brazil akan menentang Perancis di Boston pada 26 Mac dan Croatia di Orlando pada 31 Mac.
  • Ancelotti menyenaraikan Endrick dan memberi panggilan pertama kepada Igor Thiago bagi memperkukuh serangan.

Ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti menyatakan, keputusan itu dibuat bagi memastikan hanya pemain yang benar-benar cergas diturunkan menjelang persiapan Piala Dunia 2026.

“Neymar tidak dipanggil kerana dia belum berada pada tahap 100 peratus dari segi fizikal. Saya perlukan pemain yang benar-benar cergas,” katanya.

Bagaimanapun, Ancelotti tidak menolak peluang pemain berusia 34 tahun itu untuk kembali menyertai skuad jika mencapai tahap kecergasan optimum.

“Neymar masih berpeluang ke Piala Dunia, tetapi dia perlu terus bekerja, bermain dan mengekalkan keadaan fizikal yang baik,” katanya.

Brazil dijadual menentang Perancis pada 26 Mac di Boston dan Croatia pada 31 Mac di Orlando sebagai persediaan ke Piala Dunia 2026.

Neymar sebelum ini terlepas beberapa aksi antarabangsa selepas mengalami kecederaan lutut serius pada Oktober 2023 serta masalah keletihan otot baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Ancelotti turut menyenaraikan pemain muda Endrick serta memberi panggilan pertama kepada penyerang Brentford, Igor Thiago bagi memperkukuh jentera serangan. – Reuters