Negeri Sembilan pesta gol benam PDRM 6-1

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Negeri Sembilan FC mencatat kemenangan besar apabila membenam PDRM FC 6-1 dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Luqman Hakim buka jaringan awal pada minit kelima dan menambah gol kedua peribadi pada minit ke-40.
  • Park Tae-su menyamakan kedudukan pada minit ke-22 dengan gerakan peribadi sebelum menolak bola ke gawang.
  • Takumi Sasaki sumbang dua gol, ditambah jaringan Kei Oshiro dan Ahmad Khuzaimi menutup pesta jaringan.

Pasukan pelawat membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin yang memanfaatkan peluang di hadapan pintu gol.

Namun, tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit ke-22 apabila ketua pasukan, Park Tae-su berjaya memperdayakan pertahanan sebelum menolak bola ke gawang pelawat.

Negeri Sembilan kembali di hadapan pada minit ke-38 menerusi jaringan Takumi Sasaki hasil gerakan kemas bermula daripada hantaran Luqman kepada Muhammad Afiq Fitri Mohd Jefry sebelum dilorongkan kepada pemain Jepun itu untuk disudahkan.

Momentum skuad kendalian K. Rajan terus memuncak apabila Luqman sekali lagi meledak gol kedua peribadi pada minit ke-40 bagi melebarkan kedudukan 3-1 menjelang tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan menambah jaringan pada minit ke-53 menerusi tandukan Kei Oshiro selepas menerima hantaran lintang Afiq Fitri.

Takumi kemudian melengkapkan gol keduanya pada minit ke-69 sebelum Ahmad Khuzaimi Piee menutup pesta jaringan Negeri Sembilan dengan gol keenam sembilan minit kemudian.