
SAN FRANCISCO, 16 Februari – Pemain Amerika Syarikat, Collin Morikawa, meraih kemenangan penuh dramatik di kejohanan Pebble Beach Pro-Am di California pada Ahad, dengan menangkis kebangkitan pemain nombor satu dunia, Scottie Scheffler.
- Morikawa menang dramatik di Pebble Beach dengan birdie terakhir, menamatkan 22 bawah par dan memenangi satu pukulan.
- Scheffler tunjuk kebangkitan luar biasa, catat tiga eagle dan pusingan 63 untuk hampir mengejar Morikawa.
- Kemenangan itu menandakan kebangkitan penting bagi Morikawa selepas tempoh tanpa kejayaan dalam beberapa musim.
Morikawa yang juga juara dua kejohanan major, menamatkan saingan dengan 22 bawah par untuk menang satu pukulan di hadapan pencabar terdekat. Ia merupakan kemenangan pertamanya di Jelajah PGA sejak 2023.
Bermula hari terakhir di kedudukan kedua bersama, Morikawa mempamerkan aksi cemerlang apabila melakukan birdie di lubang terakhir dalam keadaan angin kencang. Pukulan putt sejauh hampir 30 kaki untuk birdie di lubang ke-15 serta satu lagi birdie di lubang ke-16 membolehkannya mendahului carta.
Namun, cabaran getir menanti di lubang ke-17 apabila pukulan tee-nya tersasar ke kawasan kasar berhampiran laut, sekadar mencatat bogey.
Morikawa turut berdepan detik mendebarkan apabila terpaksa menunggu hampir 20 minit di fairway lubang ke-18 susulan insiden melibatkan Jacob Bridgeman dari kumpulan terdahulu. Bagaimanapun, birdie di lubang terakhir sudah memadai untuk memastikan kemenangan satu pukulan mengatasi Min Woo Lee dari Australia dan Sepp Straka dari Austria.
Scheffler pula mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas memulakan aksi di kedudukan ke-22, lapan pukulan di belakang pendahulu. Dia mencatat tiga eagle termasuk dua pada tujuh lubang pertama sebelum menamatkan pusingan dengan 63 pukulan untuk berkongsi kedudukan 20 bawah par, satu pukulan di belakang Morikawa.
Juara bertahan, Rory McIlroy, turut mencuri tumpuan dengan catatan 64 pada pusingan akhir, namun gagal mencabar kejuaraan selepas melakukan beberapa kesilapan besar pada hari-hari sebelumnya.
Morikawa sebelum ini muncul juara PGA Championship 2020 dan The Open Championship 2021. Selepas kemarau kemenangan dalam beberapa musim kebelakangan ini serta kegagalan melepasi cut di Terbuka Sony pada awal musim.
Kejayaan di Pebble Beach menjadi kebangkitan bermakna buat pemain berusia 29 tahun itu.-AFP