
PUTRAJAYA, 11 Februari – Misi mempertahankan emas kini menjadi keutamaan jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026, ketika beliau bersiap menghadapi cabaran lebih besar di pentas Asia dan kelayakan Olimpik.
- Aniq tekad pertahankan emas kategori Komanwel bagi memastikan gelaran kekal milik Malaysia.
- Beliau pulih dari kecederaan tendon dan semakin yakin dengan tahap persiapan untuk cabaran berikutnya.
- Perlu beralih ke kategori lebih berat untuk kelayakan Olimpik, sambil fokus ke Sukan Asia dan kelayakan 2028.
Juara bertahan kategori 55 kilogram (kg) itu akan memastikan kejuaraan kekal milik Malaysia sebelum mengalihkan perhatian kepada kejohanan seterusnya yang lebih mencabar.
“Sasaran saya di Komanwel memang untuk pertahankan emas. Selepas itu saya fokus kepada Sukan Asia dan kejohanan kelayakan Olimpik ” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Olahragawan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bagi 2023 dan 2024 di Putrajaya.
Aniq mencipta sejarah pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila menghadiahkan emas pertama Malaysia menerusi kategori 55kg lelaki dengan jumlah angkatan 249 kilogram, sekali gus memecahkan rekod temasya.
Selepas melalui tempoh sukar akibat kecederaan tendon di lengan kanan, atlet kelahiran Segamat, Johor itu kini kembali pulih dan semakin yakin dengan tahap persiapannya.
Dalam masa sama, beliau turut berdepan cabaran baharu apabila perlu beralih ke kategori 61kg bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2028, susulan kategori 55kg tidak lagi dipertandingkan.
“Untuk diri saya, saya sudah prepair dari tahun lepas tetapi saya injured tahun lepas saya mula balik awal tahun ini, sebab untuk layak ke olimpik itu saya kena naik kelas lain sebab untuk komanwel ini saya kategori 60kg tetapi di olimpik kategori itu tak ada jadi saya kena move up 65kg sama macam olimpik paris yang lepas” Jelasnya.
Terdahulu, Aniq dinobatkan Olahragawan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bagi 2023 dan 2024 hasil pencapaian meraih gangsa Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 serta menamatkan saingan di tempat keempat Sukan Olimpik Paris 2024.