Misi hidup mati Gattuso bawa Itali ke Piala Dunia

Ketua jurulatih Itali, Gennaro Gattuso/ Foto BERNAMA

BERGAMO, 26 Mac – Ketua jurulatih Itali, Gennaro Gattuso menyifatkan aksi menentang Ireland Utara dalam separuh akhir play-off sebagai perlawanan paling penting sepanjang karier kejurulatihannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan menjadi penentu untuk menamatkan penantian 12 tahun Itali kembali ke Piala Dunia.
  • Tekanan meningkat selepas gagal melayakkan diri pada 2018 dan 2022; Bastoni dan Scamacca diragui kecergasan.
  • Gattuso fokus persiapan walau tanggungjawab jurulatih menjejaskan waktu rehat; Retegui mahu tenang dan hanya kemenangan menjadi sasaran.

Perlawanan yang berlangsung di Bergamo itu menjadi penentu buat skuad Azzurri dalam usaha menamatkan penantian 12 tahun untuk kembali beraksi di pentas Piala Dunia FIFA.

Itali sebelum ini gagal melayakkan diri ke dua edisi berturut-turut, iaitu pada 2018 dan 2022, sekali gus meletakkan tekanan besar ke atas pasukan berkenaan.

Gattuso berkata, beliau kini hanya memberi fokus kepada persiapan pasukan tanpa memikirkan kemungkinan keputusan negatif.

“Ini adalah perlawanan paling penting dalam karier saya. Saya memilih untuk kekal positif dan berfikir secara besar. Kami akan memberikan yang terbaik,” katanya.

Bekas pemain tengah itu turut mengakui tekanan sebagai jurulatih jauh berbeza berbanding ketika bergelar pemain, termasuk sewaktu membantu Itali menjulang 2006 FIFA World Cup.

Menurutnya, tanggungjawab yang digalas ketika ini lebih besar sehingga menjejaskan waktu rehatnya menjelang perlawanan penting itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Itali berkemungkinan turun tanpa khidmat Alessandro Bastoni dan Gianluca Scamacca yang masih diragui tahap kecergasannya.

Sementara itu, penyerang Mateo Retegui menegaskan pasukan perlu kekal tenang serta tidak terlalu memikirkan tekanan, sambil menegaskan hanya kemenangan menjadi sasaran.

Jika berjaya melangkah ke final play-off, Itali bakal berdepan sama ada Wales atau Bosnia dan Herzegovina.

Dalam pada itu, pengendali Ireland Utara, Michael O’Neill menegaskan pasukannya tidak gentar dengan reputasi Itali, sebaliknya mahu memberi tentangan sengit.

Beliau turut menyifatkan tekanan sebenar berada di pihak Itali yang memiliki sejarah besar dalam bola sepak dunia.- AFP