
AUGUSTA, 11 April – Rory McIlroy mengakui kejayaan mempertahankan gelaran Masters berturut-turut hanya menambah lagi keinginannya untuk meraih lebih banyak gelaran major dalam kariernya.
- McIlroy kini memiliki enam gelaran major, menyamai Nick Faldo dan hanya ketinggalan satu daripada rekod Harry Vardon.
- Beliau tidak meletakkan sasaran angka dan mahu terus mengejar lebih banyak kejayaan sambil menikmati pencapaian sekarang.
- Mengakui kelegaan selepas hampir mensia-siakan kelebihan enam pukulan, termasuk detik tegang di lubang 18.
- Dia rasa lebih yakin dan stabil, tidak menjangka kehilangan motivasi seperti selepas kemenangan tahun lalu.
Setahun selepas menjuarai Masters dan melengkapkan Grand Slam karier serta menamatkan kemarau kejuaraan utama selama 10 tahun, pemain berusia 36 tahun itu kini berasakan masih banyak yang boleh dicapai selepas meraih gelaran major keenam.
“Saya tidak meletakkan sasaran angka, tetapi saya pasti tidak mahu berhenti di sini,” kata McIlroy.
McIlroy kini menyamai catatan Nick Faldo dengan enam gelaran major, hanya satu di belakang rekod Eropah milik Harry Vardon dari 1896 hingga 1914, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai siapa pemain terbaik Eropah sepanjang zaman.
“Sudah tentu akan ada perbincangan dan debat mengenai perkara itu, tetapi saya gembira menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.
“Ia mengambil masa 10 tahun untuk saya memenangi major kelima dan kini gelaran keenam datang dengan lebih cepat.”
McIlroy berkata keyakinannya kini lebih tinggi kerana berasakan kejayaan kali ini datang dengan suasana berbeza berbanding kemenangan Grand Slam tahun lalu.
“Saya rasa Grand Slam adalah destinasi, tetapi saya sedar ia bukan pengakhiran,” katanya.
“Sekarang saya sudah menang enam major dan rasa berada dalam kedudukan yang sangat baik dari segi permainan dan fizikal.
“Ini hanyalah sebahagian daripada perjalanan. Saya masih ada sasaran lain yang mahu dicapai, tetapi pada masa sama mahu menikmatinya.
“Saya sudah lama menunggu untuk menang Masters dan kini saya menang dua kali berturut-turut, jadi saya mahu menikmati saat ini.”
Dia turut menegaskan tidak akan mengalami kejatuhan motivasi seperti selepas kemenangan tahun lalu.
“Saya tidak fikir akan mengalami kehilangan motivasi seperti sebelum ini. Saya kini berada dalam keadaan lebih stabil,” katanya.
McIlroy mengakui kemenangan kali ini lebih kepada kelegaan selepas hampir mensia-siakan kelebihan enam pukulan di pertengahan kejohanan.
Dia turut mengimbau detik cemas di lubang ke-18 apabila pukulan tee tersasar jauh ke kanan sebelum bangkit melakukan bogey untuk meraih kemenangan tipis satu pukulan ke atas Scottie Scheffler.
“Detik paling tegang adalah ketika saya tidak tahu di mana bola saya selepas pukulan tee di lubang ke-18. Ia boleh berada di mana-mana,” katanya. – AFP