
LONDON, 16 Mac– Manchester United mengukuhkan cengkamannya di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas mencatatkan kemenangan bermakna 3-1 ke atas pencabar kelompok empat teratas, Aston Villa, di Old Trafford pada Ahad.
- Casemiro buka jaringan, Ross Barkley menyamakan, Matheus Cunha dan Benjamin Sesko menjaringkan gol penamat.
- Bruno Fernandes memintas rekod bantuan David Beckham dengan 16 assist musim ini dan capai 100 assist keseluruhan United.
- Michael Carrick catat kemenangan ketujuh daripada sembilan perlawanan sejak mengambil alih; Villa tewas tiga perlawanan liga terakhir.
Skuad kendalian pengurus interim, Michael Carrick, membuka tirai jaringan menerusi Casemiro sebelum Ross Barkley menyamakan kedudukan buat Villa.
United kemudiannya mengesahkan kemenangan hasil jaringan Matheus Cunha dan Benjamin Sesko di penghujung perlawanan, sekali gus merekodkan kemenangan ketujuh Carrick daripada sembilan perlawanan sejak mengambil alih tugas daripada Ruben Amorim.
Kemenangan itu menyaksikan United kini berkelebihan tiga mata di hadapan Villa dalam persaingan merebut slot Liga Juara-Juara.
Perlawanan tersebut turut mencatatkan sejarah peribadi buat Bruno Fernandes yang berjaya memintas rekod bantuan jaringan (assist) kelab milik David Beckham (15) dengan mengumpul 16 bantuan jaringan musim ini, selain melengkapkan rekod keseluruhan 100 bantuan jaringan buat United.
Sementara itu, prestasi hambar Villa berterusan selepas tewas dalam tiga perlawanan liga terakhir mereka.
Dengan baki lapan perlawanan, Villa kini hanya tiga mata di atas Chelsea yang menduduki tangga kelima. -AFP