
KUALA LUMPUR, 17 Februari – Pasukan hoki wanita negara tidak meletakkan sebarang sasaran khusus bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia di Santiago, Chile dari 1 hingga 8 Mac ini.
- Jurulatih Nasihin Nubli tekankan fokus pada memperkukuh prestasi pasukan, bukan sasaran menang tertentu.
- Penekanan kepada proses dan pendedahan kompetitif untuk enam pemain remaja dari skuad Piala Dunia 2025.
- Matlamat jangka pendek adalah membina keserasian dan perkembangan kolektif melalui pengalaman peringkat tinggi.
Ketua jurulatih skuad Malaysian Tigress, Nasihin Nubli, berkata fokus utama pasukan adalah memperkukuh persembahan serta memberi pendedahan kompetitif kepada barisan pemain muda.
“Fokus kami pasukan wanita adalah prestasi dan proses. Ini memandangkan kita membariskan enam pemain remaja dari skuad remaja Piala Dunia 2025.
“Jadi kita akan gunakan sebaiknya (Kelayakan Piala Dunia) sebab ini adalah pendedahan peringkat tinggi untuk pasukan wanita bergerak sebagai sebuah pasukan dan terus ke hadapan,” katanya.
Pada kempen kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Ireland, Kanada dan Jepun.
Skuad wanita negara akan membuka tirai menentang Ireland pada 3 Mac diikuti Kanada pada 4 Mac sebelum melengkapkan aksi peringkat Kumpulan B menentang Jepun pada 6 Mac.
Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.