Malaysia pertaruh pemain B-16 ke Kejuaraan B-17 ASEAN 2026

Foto Facebook FAM

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Malaysia akan menurunkan skuad lebih muda untuk menyertai Kejohanan Bawah 17 Tahun (B-17) ASEAN 2026 yang dijadualkan berlangsung di Indonesia pada April.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dibuat sebagai persiapan awal menghadapi Kelayakan Piala Asia B-17 2027 pada November.
  • Keputusan dicapai selepas perbincangan antara NFDP, pengurusan FAM dan Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donell.
  • Kejohanan dijadikan pemanas badan; lima pasukan hantar skuad B-17 kerana layak, Malaysia gagal layak.
  • Kejohanan di Jawa Timur, 11-24 April 2026; Malaysia dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Vietnam dan Timor-Leste.

Keputusan itu dibuat bagi memberikan skuad Harimau Malaya B-16 kendalian Shukor Adan melakukan persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia B-17 2027 pada November depan.

Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee menerusi kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell.

“Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 ini sebenarnya dijadikan sebagai medan persiapan atau pemanas badan buat pasukan-pasukan di bawah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang akan beraksi pada Piala Asia B-17 2026 di Arab Saudi pada Mei depan.

“Lima pasukan iaitu Vietnam, Indonesia, Thailand, Myanmar dan Australia menghantar skuad B-17 (lahir 2009) ke kejohanan ini kerana mereka layak ke Arab Saudi manakala Malaysia tidak layak selepas kita gagal pada pusingan kelayakan, November lalu,” menurut kenyataan itu.

Meskipun negara menghantar skuad muda setahun berbanding lima pasukan tersebut, Datuk Ong Kim Swee yakin dan percaya pemain-pemain B-16 negara bawah kendalian Shukor Adan mampu memberikan cabaran yang hebat di Indonesia.

Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 akan berlangsung di Jawa Timur, Indonesia dari 11 hingga 24 April 2026 dengan Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Vietnam dan Timor-Leste.

Kumpulan B pula menampilkan Thailand, Laos, Myanmar dan Filipina manakala Kumpulan C dibarisi Australia, Kemboja, Singapura dan Brunei.