
KUALA LUMPUR, 5 Februari – Penganjuran Malam Anugerah Olahraga Malaysia 2026 oleh Malaysia Athletics (MA) disifatkan sebagai langkah bermakna dalam menghargai jasa atlet legenda yang pernah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
- Menghargai jasa atlet legenda yang mengangkat nama negara walau berjuang dengan kekurangan masa lalu.
- Majlis memberi motivasi kepada generasi muda mencontohi semangat pengorbanan, patriotisme dan kecintaan terhadap sukan.
- Penganjuran turut menghormati jurulatih, pegawai dan pemenang era 1966–1982 melalui ganjaran tunai.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, menzahirkan ucapan tahniah kepada MA atas inisiatif menganjurkan program penghargaan berkenaan yang dilihat mampu menjadi contoh kepada persatuan sukan lain untuk membudayakan penghargaan terhadap tokoh sukan negara.
Menurut beliau, atlet-atlet terdahulu merupakan wira dan wirawati negara yang berjuang dalam keadaan serba kekurangan dari segi infrastruktur, ganjaran serta persiapan berbanding kemudahan yang dinikmati generasi hari ini, namun tetap menunjukkan semangat juang tinggi demi mengangkat martabat Malaysia.
“Penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja menghargai sumbangan mereka, malah memberi motivasi kepada generasi muda supaya mencontohi semangat pengorbanan, patriotisme dan kecintaan terhadap sukan tanpa mengharapkan ganjaran semata-mata,” katanya ketika ditemui media selepas majlis.
Tan Sri Mohamad Norza turut menegaskan sukan berperanan sebagai kuasa penyatuan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, selain mewujudkan feel good factor yang sukar digambarkan namun mampu menyatukan rakyat dalam satu semangat kebersamaan.
Malam Anugerah Olahraga Malaysia 2026 turut menyaksikan penerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati bagi tempoh 1966 hingga 1982 menerima hadiah wang tunai sebagai tanda penghormatan atas jasa mereka kepada negara.
Selain meraikan para atlet, majlis berkenaan turut menghargai jurulatih dan pegawai sukan yang menerima imbuhan sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan olahraga tanah air.
