MABA sasar emas acara 3×3 Sukan Sea 2027

MABA sasar skuad 3×3 negara raih emas Sukan Sea 2027 – MABA

KUALA LUMPUR, 1 Februari – Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas atau dua perak pada Sukan SEA 2027 dengan acara 3×3 dikenal pasti sebagai sandaran utama untuk menghadirkan kejayaan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • MABA menyasarkan sekurang-kurangnya satu emas atau dua perak pada Sukan SEA 2027.
  • Acara 3x3 diutamakan sebagai sandaran utama kerana pasukan kini ranking ke-11 dunia.
  • MABA meluluskan peruntukan RM7.3 juta untuk aktiviti bola keranjang tahun ini.
  • MABA kini mempunyai sumber pendapatan stabil dan mampu berdikari dari segi kewangan.

Presiden MABA Datuk Seri Lee Tian Hock berkata walaupun Sukan SEA masih berbaki kira-kira dua tahun lagi, persatuan itu tidak akan menunggu sehingga saat akhir untuk memulakan persiapan.

Presiden MABA Datuk Seri Lee Tian Hock – MABA

“Memandangkan Sukan SEA 2027 diadakan di Malaysia, kita mesti mahu sasar lebih tinggi, kita sasar satu emas atau sekurang-kurangnya dua perak … kita juga tahu kekuatan dan kelemahan kita. Untuk 5×5 cabaran paling besar ialah Filipina dan memang sukar untuk kita menang.

“Emas kita banyak bergantung pada 3×3 kerana pasukan 3×3 Malaysia sekarang berada pada ranking nombor 11 dunia dan layak beraksi dalam Sukan Komanwel 2026,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam MABA di sini semalam.

Turut hadir pada majlis makan malam itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nasir Ali dan para pemain negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (kanan) turut hadir pada Majlis Makan Malam MABA – MABA

Sebagai rekod, Malaysia membawa pulang dua gangsa masing-masing dalam acara 3×3 lelaki dan wanita pada Sukan SEA 2025 di Thailand dengan pasukan tuan rumah mengungguli saingan lelaki sementara Indonesia meraih emas wanita.

Sementara itu, beliau berkata MABA telah meluluskan peruntukan sebanyak RM7.3 juta bagi aktiviti bola keranjang sepanjang tahun ini dan akan melipatgandakan usaha dalam membuat persediaan menghadapi Sukan SEA tahun depan.

MABA kini katanya, mempunyai sumber pendapatan yang stabil dan kukuh bagi membiayai aktiviti, sekali gus menjadikan persatuan itu bersifat mampan dari segi kewangan.

Lee berkata keupayaan itu merupakan sebahagian daripada usaha MABA untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan serta meringankan beban kewangan negara.

“MABA antara satu-satunya – atau mungkin satu-satunya – persatuan sukan di Malaysia yang mampu berdikari secara kewangan. Tanpa sumbangan kerajaan sekalipun, kami masih boleh bertahan dan meneruskan aktiviti,” katanya. -BERNAMA